Ahad, Ogos 26, 2007

Internet Sebagai medium Dakwah

Oleh : Mohd Faizul Afzan Bin Mamat

Setiausaha Eksekutif
Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan

Profesor Dilnawaz A. Siddiqui dari Jabatan Komunikasi, Clarion University of Pennsylvania, dalam tulisannya berkenaan dengan teknologi komunikasi dari perspektif Islam berpendapat:

“ It has now become a platitude to say that the nation that controlled the sealanes in the nineteenth century, or that controlled airways in the twentieth century, controlled the whole world.In the twenty-first century, it appears that whoever controls the airwaves will control the world and whatever beyond it ”.1

( Sekarang sudah menjadi suatu yang lumrah untuk dikatakan bahawa negara yang menguasai perairan laut di abad ke - 19, atau yang menguasai ruang udara di abad ke-20 , menguasai dunia. Di abad ke -21, apa yang jelas ialah sesiapa yang menguasai gelombang udara akan menguasai dunia dan malahan lebih dari itu)

Jika merujuk kepada pendapat di atas, Persoalan utama yang diketengahkan oleh Profesor D. A Siddiqui ialah keupayaan menguasai gelombang udara yang sekaligus membolehkan sesebuah negara atau bangsa menguasai dunia, iaitu yang dikenal dalam istilah media sebagai “ media imperialism”. Media imperialism merujuk kepada peranan media kapitalis Barat ,melalui sistem komunikasi, menjajah dan mendominasi negara-negara Dunia Ketiga dalam aspek ekonomi, budaya, dan juga informasi.

Bagi dakwah, “menguasai dunia” sebenarnya bukanlah perkara asing kerana ia merupakan ahdaf- al-da’wah (tujuan dakwah) yang utama. Dakwah bertujuan mengajak dan memandu seluruh manusia supaya memperolehi kebahagiaan (sa’adah) yang hakiki bagi kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Dengan kata lain dakwah bertujuan mengembalikan seluruh manusia kepada fitrah, iaitu homo religious dan homo Islamicus. Persoalannya, apakah penguasaan dunia melalui teknologi komunkasi, sama ada “hardware” atau “software” yang ketika ini didominasi oleh Barat, terutamanya Amerika, boleh memandu manusia kembali kepada fitrahnya tunduk dan patuh hanyasanya kepada Allah?


Dakwah Di Era Teknologi Komunikasi dan Maklumat

Ketika seseorang dari Kampung Jelawat , Bachok, Kelantan boleh berkomunikasi dengan sahabatnya dari Inverness, Scotland, dalam masa yang singkat dengan duduk di hadapan komputer menggunakan kemudahan chatting seperti Yahoo Messengger untuk berbincang, menghantar surat kepada kenalan melalui e-mail (Surat Elektronik), atau mencari informasi tentang sebuah bandar kecil di Utara Amerika menggunakan kemudahan software internet seperti google earth, atau berkongsi maklumat dengan kenalan internet tentang artikel semasa seperti diari, berita, catatan pengalaman mengunakan perkhidmatan weblog , dan ketika seorang doktor tentera di Amerika, tanpa perlu pergi ke medan pertempuran yang jauhnya beribu batu, boleh melakukan pembedahan anggota tenteranya yang luka dengan hanya menekan keyboard komputer, maka persoalan dan juga cabaran yang ditimbulkan akhir-akhir ini ialah para du’at sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya teknologi komunikasi maklumat berkenaan untuk kepentingan dakwah.2 Tanpa menafikan pentingnya penglibatan para du’at secara proaktif dalam bidang ini, beberapa isu berhubung dengan pemindahan teknologi perlu diberi perhatian wajar. Dengan adanya kemudahan ICT ini, menyebabkan segala tindakan, penyebaran maklumat, menjadi semakin pantas dan mampu memberi perubahan tentang method dakwah di abad ini.


Internet sebagai Alat Mesra Mad’u
Kecanggihan teknologi informasi dan komunikasi ini , menyebabkan seluruh dunia semakin mengecil sebagaimana yang kita istilahkan sebagai globalisasi . Bahkan kerana kecanggihan ini, dunia kita dianggap sebagai , “kampung global” (global village) , di mana pengguna dari negara yang jauh beribu kilometer dari kampung kita, dapat merasai keenakan nasi lemak yang dimasak oleh pemilik restoren di kampung kita , dengan memesan menggunakan e-dagang.

Jika kita menganalisis kemajuan teknologi maklumat ini melalui perspektif dakwah, maka generasi duat pada hari ini mestilah mengoptimumkan sepenuhnya peluang yang ada untuk menyebarkan Islam di seluruh dunia dengan berbekalkan kemahiran dan kreativiti yang pelbagai. Penyampaian maklumat yang luar biasa kelajuannya menjadikan dakwah yang ingin disampaikan bersifat value-added, justeru meningkatkan kapasiti gerakan dakwah untuk menyerlahkan proses Islamisasi yang melangkaui batas daerah yang terhad. Dakwah dalam era ini harus bersifat service-oriented, mesra mad'u dan tidak sekadar mengharapkan masyarakat menyumbang tanpa kita terlebih dahulu menawarkan penyelesaian pada masalah-masalah asasi masyarakat.

Bayangkan mad’u (orang yang menjadi sasaran dakwah), yang selama ini kita didik melalui usrah dan tamrin, di satu ketika kita terpaksa berpisah dengan mad’u tersebut disebabkan mad’u tersebut terpaksa berhijrah ke negeri lain kerana menyambung pengajian atau bekerja , kita masih dapat menghubungi mad’u tersebut melalui kaedah chatting, emel atau blog!. Dengan kata lain, proses tarbiyyah masih dapat dilakukan dengan memanfaatkan teknologi internet.

Cabaran Duat di alam Internet

Persoalan cabaran yang bakal didepani oleh duat di alam internet juga perlu diketahui oleh para duat. Segala informasi yang diperolehi oleh duat melalui Internet, perlu melalui proses penyaringan dengan membuat rujukan secara tradisional . Sebagai contoh, jika seorang duat ingin mencari bahan berkaitan hukum , ibadah dan sebagainya, segala malklumat yang diperolhi hendaklah dirujuk kepada ulama’ atau kepada mereka yang lebih arif tentang ilmu tersebut, kerana dibimbangi maklumat yang diperolehi itu berasal dari sumber yang dihantar oleh golongan yang provokasi seperti golongan orientalis, missionary dan lain-lain.

Ledakan maklumat diinternet tidak akan menyekat pengguna –pengguna yang mempunyai pelbagai pemikiran, ideologi, fikrah untuk menyebarkan maklumat.

Ledakan maklumat ini juga menyebabkan pengaruh buruk seperti penyebaran fitnah, ajaran sesat, sebaran gambar dan video pornografi tidak dapat ditangkis oleh pengguna. Oleh sebab itu sebagai seorang Islam, apabila menggunakan internet, segala informasi yang diperolehi perlu disandarkan kepada informasi asas, iaitu informasi yang diperolehi dari sumber asas, al-quran dan al-hadith. Ia adalah asas kepada kesempurnaan hidup manusia dan informasi ini perlu dikuasai oleh setiap muslim kerana ia asas kepada pembentukan pola pemikiran, kepercayaan , tindakan dan perasaan seseorang. Informasi asas inilah yang dianggap sebagai proses saringan untuk menjadikan maklumat yang kita perolehi tersebut adalah sahih.

Dakwah Siber Vs Dakwah Tradisional

Realiti penyebaran teknololgi maklumat sepeti yang dikemukakan di atas membuktikan bahawa umat Islam tidak boleh berfikiran simplistik, mengadoptasi teknologi secara membuta tuli. Malahan pandangan bahawa metode dakwah tradisonal adalah lapuk dan ketinggalan zaman juga tidak tepat. Penulis berpendapat bahawa metode dakwah seperti ceramah, khutbah, kuliah subuh, usrah dan sebagainya perlu diperkukuhkan dengan memberi latihan pembangunan du’at yang lebih sistematik. Di samping memperkukuhkan metode dakwah tradisonal, pekembangan teknologi komunikasi dan maklumat juga perlu dikuasai oleh umat Islam, bukan sekadar menjadi pengguna (consumers), tetapi juga pencipta kepada pembangunan teknologi hardware dan juga software.

Beberapa Hakikat Penting

Teknologi semasa:

Senario pertama, dua orang yang duduk jauh berasingan seperti di dua buah negara berlainan boleh "bercakap" atau ber"chat" melalui komputer. Perbincangan serentak dilakukan dalam Internet tanpa menggunakan cara biasa seperti telefon.

Senario kedua, dua orang yang berada beribu kilometer antara satu sama lain mengatur strategi bertanding sesama mereka dalam satu-satu permainan dalam talian.

Senario ketiga, pengguna yang mempunyai alat perakam seperti camera video DVD atau telefon yang mempunyai perakam video dapat berkongsi rakaman video yang dirakam mengenai sesuatu kejadian selepas di muat naik (upload) melaui kemudahan web tv di internet seperti youtube, metacafe, google video dan lain-lain.

Senario diatas memaparkan tentang Teknologi Internet. Internet bukan sahaja hebat dari segi teknologinya bahkan juga dari segi aplikasi dan kegunaannya. Dari segi kos, walaupun kita berhubung dengan komputer-komputer di seberang laut, kos telekomunikasi dan kos untuk akses ke Internet lebih rendah daripada kos panggilan telefon tempatan.


Hakikat semasa:

Pertama, maklumat tersebar dengan luas di dalam lebuhraya maklumat. Maklumat yang datang dari Barat tidak terlepas dari nilai, falsafah dan versi Barat yang disampaikan. Pengguna teknologi maklumat (khususnya umat Islam di Malaysia terdedah kepada penyebaran maklumat yang salah mengenai Islam dan terdedah kepada nilai-nilai negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam. Malah permasalahan ini berleluasa dengan pesatnya melalui alat teknologi masa kini yang lebih canggih ; yang sudah pun sampai ke bilik tidur pengguna maklumat.

Kedua, para cendiakawan Islam secara umumnya dengan latarbelakang pendidikannya yang tersendiri agak gusar dan juga takut berhubung dengan teknologi kini. Ia dikenali juga dengan fobia teknologi/komputer.

Ketiga, kurangnya tenaga pendakwah yang mampu menggunakan teknologi ini. Akibatnya mereka lambat menyesuaikan diri samada untuk menyedia dan menyebar bahan-bahan dakwahnya dan juga lambat untuk memberi jawapan kepada berbagai masalah yang ditimbulkan menerusi media ini

Keempat, kurang keupayaan dalam menguasai bahasa Inggeris mengakibatkan para pendakwah terpinggir dari arus perdana semasa

Kelima, kelemahan penguasaan ilmu Islam di kalangan pakar dan pengguna teknologi maklumat dan komunikasi. Ini menyebabkan teknologi tidak/kurang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. 3

Method Dakwah di Internet

1. Emel & Chatting Room

Bagaimana memanfaatkan Sistem mel elektronik (e-mel) ini dalam dakwah? Semua orang boleh mendapatkan email secara percuma. Bagi tujuan ini, penggunaan emel di laman yahoo dan Google dicadangkan. Ianya dapat dicapai di http://www.yahoo.com dan perkhidmatan emel google di www.gmail.google.com .


Ini adalah kerana terdapat beberapa kelebihan yang tersedia dirangkaian yahoo dan google seperti:

i) Bagi tujuan komunikasi, terdapat

  • Mail Yahoo: email (spt: dakwahsiber@yahoo.com) untuk berkomunikasi yang boleh
    dicapai dimana sahaja berada asalkan ada capaian ke internet


  • Yahoo Messenger: sistem komunikasi online berupa chat berkumpulan/berpasangan samada bertulisan atau suara dengan menggunakan Yahoo Mesengger yg dapat diperolehi di http://messenger.yahoo.com/


  • Emel Google: Perkhidmatan Emel google iaitu Gmail mempunyai kaedah system yang sama seperti yahoo. Namun kehebatan Gmail ini, mempunyai ruang simpanan mel yang besar iaiutu mencapai sehingga 2 gigabyte. sistem komunikasi online juga dapat digunakan dalam akaun Gmail, dimana anda bukan sahaja dapat menerima emel sahaja tetapi dapat ber chat dengan pengguna gmail lain secara terus melalui akaun emel tersebut.

    Manfaat untuk dakwah :

Penggunaan Emel dapat dimanfaatkan sebagai medium dakwah melalui kaedah penghantaran artikel-artikel dakwah dan tarbiyyah secara terus kepada mad’u yang mempunyai emel. Kaedah ini bolehlah dinamakan sebagai e-tarbiyyah. Manakala kaedah chatting room dari kedua-dua perkhidmatan di atas dapat dimanfaatkan sebagai ruang komunikasi untuk para duat mengadakan sesi tazkirah dan usrah secara online. Kaedah ini perlu lebih-lebih lagi jika ahli-ahli usrah tinggal di tempat yang jauh dari ahli yang lain.


2. WeBlog

Kecanggihan dunia teknologi maklumat hari ini telah memungkinkan banyak perkara. Selain saling berhubung dengan menggunakan mel elektronik ataupun e-mel, pengguna juga boleh memiliki laman web sendiri sama ada secara percuma ataupun berbayar.


Dan kini wujud fenomena baru dikalangan generasi muda di dalam dunia ICT yang dipanggil weblog. Secara istilah, weblog bermaksud log ataupun buku log (buku yang penulis jadikan catatan nota semasa di bangku menengah) yang ditulis menggunakan laman web tertentu samada dari perkhidmatan blogger, blogsome, blogdrive dan lain-lain. Dari maksud itulah datangnya perkataan weblog.


Ia boleh dianggap sebagai menulis catatan ataupun diari secara online. Catatan tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja setelah penulis blog tersebut memilih untuk menyiarkan blog tersebut di lamannya.Kewujudan weblog telah menimbulkan semula minat menulis di kalangan kumpulan tertentu khususnya generasi muda.

Bagi penulis , pekhidmatan blog yang menjadi pilihan penulis adalah blogger dari produk google. Bagi tujuan dakwah, penggunaan weblog melalui blogger dicadangkan. Duat boleh mendaftarkan weblog Persatuan, individu atau kumpulan dakwah dengan mendaftarkan akaun di www.blogger.com

Contoh Blog yang dimanfaatkan oleh Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan . (http://ppik-kelantan.blogspot.com)


Blog personal penulis
http://faizulafzan.blogspot.com

3. Google Earth

Satu lagi produk internet yang perlu dimanfaatkan oleh duat adalah Google Earth. Google Earth merupakan program yang memperbolehkan pengguna mengimbas pemandangan dunia (gambar sebenar tapi bukan masa-sebenar) dari atas langit secara maya. Pada asalnya Google Earth yang dicipta oleh Keyhole Inc dipanggil Earth Viewer, namanya ditukar setelah program tersebut dimiliki oleh Google. Imej pemandangan dari atas yang diperolehi dari perimejan satelit dan fotografi udara telah dicantumkan untuk menghasilkan peta bumi yang lengkap (piksel rendah bagi kawasan hutan). Kelebihan penggunaan google earth bagi duat , penulis berpandangan perisian ini penting lebih-lebih lagi apabila para duat ingin mengadakan sebuah ekspidisi pengembaraan (musafir) untuk mengenali keadaan geografi sesebuah tempat bukan sahaja di kawasan tempatan , malah di luar negara.

Perisian Google Earth

Penulis mengambil contoh, peranan sebuah agensi dakwah yang dikenali dengan nama Grup Pengkaji Tamaddun Dunia (GPTD) sebuah badan yang ditubuhkan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) , telah memanfaatkan perisian ini sebelum mereka mangadakan penjelajahan ke luar negara lebih-lebih lagi pengembaraan ke destinasi yang sukar seperti ke pedalaman Indonesia, Pulau Krismas di Australia, Sri Langka, China dan sebagainya bagi tujuan dakwah.

Kesimpulan

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam dakwah adalah sangat penting dan dimanfaatkan sebaik dan sebijak mungkin. Program memberi dan meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi moden di kalangan pendakwah dan ulama mestilah diadakan dan dipertingkatkan, manakala program pengukuhan ilmu teras Islam pula diberikan kepada para pakar Muslim dalam bidang teknologi agar kelancaran dan keberkesanan dakwah dapat dicapai.

Suatu mekanisma penyelarasan yang berwibawa dan berkesan mestilah dibentuk bagi mempastikan kegiatan dakwah menerusi teknologi terkini dapat dilaksanakan dengan teratur dan rapi serta menepati pada golongan sasaran. Suatu gabungan dan jalinan yang kuat antara pakar-pakar Muslim dalam pelbagai bidang dan antara institusi dan organisasi Islam yang berwibawa hendaklah diusahakan.

___________________
1. “Selected Major Issues in Instructional Communication Technology: An Islamic Perspective”.The American Journal of Islamic Social Sciences, vol.10, no , 1993 halaman 312.

2. Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Islam dan perubahan anjuran ABIM pada 7 Jun 1996 yang lalu menggesa agar dimanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, termasuk teknologi multimedia.Lihat Utusan Malaysia, 8 Jun 1996.

3. Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Dakwah Islamiyyah ; Cabaran, Strategi Dan Penggunaannya , Norhashimi bin Saad, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya