Rabu, Januari 16, 2008

Melahirkan golongan ulul albab

Persoalan utama ialah kenapa baru-baru ini timbul perbincangan ini? Banyak isu yang telah meletihkan tetapi diperlukan untuk pembangunan negara. Malaysia, sebuah negara yang baru merdeka 50 tahun, sama seperti Ghana, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk melihat sebuah negara yang gemilang. Pelbagai dasar diperkenalkan sejak 31 Ogos 1957 sehingga kini seperti Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 melonjakkan negara ke tahap mengecapi nikmat kemerdekaan pada hari ini.

Merdeka, saat lonjakan terbaik telah memberikan kesempatan untuk bangsa Malaysia bergerak ke hadapan. Melihat sirah Rasulullah saw ketika berusia 25 tahun, baginda berkahwin dengan Khadirah r.a, seorang janda yang kaya dan telah berkahwin sebanyak dua kali. Beliau tertarik dengan keperibadian Rasulullah saw yang sangat jujur dan amanah. Tugas menjadi peniaga yang berulang-alik dari Mekah dan Syam memberi ruang kepada Khadijah r.a melihat dan menilai peribadi baginda saw sebagai seorang yang matang walaupun berusia 25 tahun. Kematangan usia tidak dapat dibandingkan dengan kematangan akal kerana kedapatan datuk yang berusia 70 tahun masih cuba merogol cucu yang berusia 8 tahun. Justeru, tahap kematangan boleh dianggap sebagai satu anugerah dan boleh juga dianggap bala.

Seorang pemimpin, walaupun umurnya 60 tahun tetapi perancangannya menjangkau 100 tahun. Oleh itu, Wawasan 2020 adalah perancangan masa depan kerana kematangan seorang pemimpin. Slogan cemerlang, gemilang dan terbilang adalah nilai ketinggian perancangan masa depan.

Pemimpin perlu berfikir apa yang hendak dilakukan dalam jangka masa panjang dan kebaikannya kepada masyarakat dan negara. Contohnya, pembukaan jalan raya yang berkualiti dapat membantu meningkatkan pergerakan kenderaan. Lebuhraya Utara-Selatan telah menggerakkan ekonomi Malaysia dalam masa 20 tahun sahaja hasil kematangan berfikir pemimpin. Malah kematangan pemimpin tidak perlu banyak soal kerana orang yang matang adalah tegas, bijak dan berbeza.

Proses membentuk kelompok ulul albab bukannya singkat malah mengambil masa. Mewujudkan ulul albab berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana terlalu banyak isu yang perlu dirungkai khususnya umat Islam di Malaysia. Halangan terbesar ialah kejahilan dan kemiskinan kerana dua unsur ini menyebabkan negara mundur 20 atau 30 tahun ke belakang.


Survival bangsa perlu juga difikirkan selain daripada Islam. Disebabkan Islam terletak pada bangsa Melayu, kekuatan Islam terletak pada kekuatan bangsa Melayu. Kuat Melayu, kuatlah Islam. Begitu juga Arab. Lemah Arab, lemahlah Islam. Kalau Melayu tidak dibangunkan, Islam juga akan jauh ditinggalkan. Ambil contoh mudah iaitu ekonomi. Pada tahun 60-an hingga 70-an, ramai orang Melayu telah pergi melanjutkan pelajaran di luar negara kerana dihantar oleh kerajaan, jarang benar ada yang boleh pergi sendiri. Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Apabila ditanya kenapa masyarakat Malaysia disediakan kouta untuk belajar, kita harus melihat daripada sudut yang positif. Malaysia tidak dapat menghapuskan sistem ini kerana orang Melayu masih jauh ketinggalan.

Nilai yang ada pada bangsa yang survival adalah melaksanakan semua aspek positif. Pelaksanaan nilai-nilai melalui penerapan nilai-nilai Islam memudahkan urusan masyarakat Melayu untuk membangun.


Prasayarat menjadi umat yang dihormati ialah menghapuskan tiga perkara iaitu hapuskan kejahilan, hapuskan kemiskinan dan hapuskan penyakit. Ketiga-tiga perkara ini memerlukan metodologi yang pelbagai dan perlu difikirkan sebaik-baiknya. Dalam usaha ini, banyak pulalah halangan yang bakal dihadapi.

Bagaimana pula hendak menghapuskan secara langsung dan berkekalan halangan-halangan ini? Lihat pada semua aspek. Bina kekuatan. Tinggi ilmu, pendapatan akan meningkat, pengeluaran akan bertambah. Kesihatan bertambah baik kerana kesedaran masyarakat semakin tinggi. Perubahan hanya akan boleh berlaku jika ada pendidikan. Ketika Baghdad menjadi kota ilmu dan pusat rujukan kepada seluruh dunia, khalifah telah membina perpustakaan yang menjadi rujukan dalam pelbagai bidang ilmu. Kota Baghdad dikenali kerana kehebatan ilmunya.

Finland menjadi negara pengeluar telefon bimbit terkenal di dunia kerana disiplin ilmu yang diperkenalkan di sekolah. Umat Islam tidak pernah berbangga dengan pencapaian mereka dalam era moden kerana jahil dan bergaduh sesama sendiri. Apakah kita masih boleh mengharapkan negara-negara Arab yang kaya-raya untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia?


Malaysia yang dipimpin dan digerakkan oleh kematangan berfikir, mesti melahirkan lebih ramai teknokrat, korporat dan saintis supaya sumpahan kemunduran tidak akan menjadi kenyataan. Panduan untuk mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan bukannya metafora dan fatamorgana, sebaliknya adalah sains yang boleh dibuktikan. Justeru, ulul albab adalah matlamat penting yang mesti dicapai oleh setiap orang daripada kita.

Islam memaksima keupayaan akal

Oleh : DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Mantan Presiden PKPIM

ISLAM adalah agama yang sentiasa menganjurkan umatnya agar memaksimakan keupayaan akal fikiran yang dikurniakan Allah. Malah al-Quran sebagai sumber wahyu utama turut menjadi faktor terpenting yang mendorong umat Islam agar sentiasa ghairah menimba ilmu dan meningkatkan penggunaan akal fikiran.

Al-Quran sarat dengan istilah-istilah yang mendorong manusia untuk meningkatkan penggunaan akal seperti perkataan-perkataan yang berteraskan kata ‘ilmu, fikir, faqih dan sebagainya. Perkataan yang mempunyai kata teras ‘ilm, misalnya telah diulang-ulang dalam pelbagai bentuk konotasi sebanyak 750 kali di dalam al-Quran.

Menurut kajian Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya The Concept of Knowledge in Islam, perkataan yang berpaksikan akal seperti ‘ilm merupakan perkataan ketiga banyaknya disebut dalam al-Quran selepas perkataan Allah (2,500 kali) dan Rabb (950 kali). Ini sekali gus menggambarkan kepentingan akal sebagai antara konsep yang paling penting dalam Islam.

Penekanan Islam terhadap penggunaan akal fikiran tidak pula bermaksud meminggirkan kepentingan wahyu Ilahi. Sebaliknya akal yang difahami dalam tradisi Islam masih terpaut teguh pada sauh wahyu hingga tidak memungkinkan wujud pertentangan antara wahyu dan akal. Kalaupun berlaku pertembungan antara rasional akal dan ketentuan wahyu, keutamaan tetap diberi kepada tuntunan wahyu Ilahi.

Generasi

Integrasi antara akal dan wahyu turut dizahirkan al-Quran dengan menggunakan istilah ulul-albab. Ulul-albab ialah generasi yang terbina di atas dasar keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis.


Allah turut menukilkan sifat generasi ini sebagaimana firmanNya: Mereka itu yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. (Ali-Imran: 191). Pembentukan generasi ulul-albab yang menyepadukan unsur ketuhanan (wahyu) dan nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran inilah yang pernah memartabatkan umat Islam sebagai pelopor tamadun manusia selama beratus-ratus tahun.

Sesungguhnya tamadun Islam membangun pesat ketika Eropah masih dibelenggui zaman kelam yang turut dikenali sebagai The Dark Age. Para cendekiawan dan ahli saintis Islam mempelopori pembangunan dan pengkajian pelbagai cabang dan disiplin ilmu sepanjang tahun 700 hingga 1500 Masihi. Ibn Sina umpamanya menulis sebanyak 220 buah karya yang salah satu darinya al-Shifa’ (mengenai perubatan) mengandungi 8 jilid, Al-Kindi mengarang sebanyak 242 buah, Ibn ‘Arabi sebanyak 284 buah, Zakaria Ar-Razi 236 buah, Abu Hasan al-‘Ashaari sebanyak 93 buah.

Para ilmuwan Islam ini bukan sekadar menulis dalam satu bidang bahkan merangkumi pelbagai bidang ilmu yang terdapat pada zaman mereka. Fakhruddin al-Razi yang terkenal sebagai salah seorang ahli tafsir terkemuka turut menghasilkan 149 tajuk yang meliputi bidang metafizik, teologi, falsafah, fekah, sejarah, firasat, sihir dan nujum hatta mengenai minuman (al-‘Ashribah). Begitu juga Al-Jahiz yang terkenal sebagai ahli teologi aliran Muktazilah juga menulis dalam pelbagai bidang lain seperti Kitab al-Hayawan (buku mengenai binatang) yang masih menjadi rujukan di universiti-universiti di Barat dalam bidang zoologi.

Pembinaan Bayt al-Hikmah sebagai instituti penyelidikan dan penterjemahan terulung sekitar tahun 830 Masihi oleh Khalifah al-Makmun cukup menggambarkan komitmen tinggi kerajaan Islam yang turut berperanan merangsang pembangunan intelektual umat Islam. Hasil karya dan pengkajian sarjana-sarjana Islam ini jugalah yang mempengaruhi gerakan pencerahan atau dikenali sebagai Renaissance iaitu gerakan pembebasan daripada kongkongan pemikiran yang dilakukan oleh pihak gereja hingga menyebabkan rata-rata masyarakat Eropah berjiwa kerdil bagaikan tiada maruah.

Kebanyakan bahan-bahan penulisan cendekiawan Islam seperti ensiklopedia perubatan Ibn Sina dan Ar-Razi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Eropah lain serta dijadikan buku-buku rujukan utama di universiti-universiti di Eropah sehingga tahun 1600. Malah ribuan pelajar-pelajar dari Eropah membanjiri universiti-universiti utama yang dibina oleh kerajaan Islam seperti di Baghdad, Sepanyol, Syria, Mesir dan Iran.

Gambaran di atas menunjukkan betapa hebatnya tradisi pengupayaan akal dalam Islam yang sentiasa berpaksikan kepada tauhid atau keesaan kepada Allah. Justeru, tanggapan kononnya Islam merupakan agama yang terlalu mengongkong pemikiran umat dengan isu-isu sekitar halal dan haram hanyalah manifestasi kejahilan mengenai hakikat Islam.

Sebaliknya Islamlah satu-satunya agama yang sentiasa menganjurkan umatnya memaksimakan keupayaan akal fikiran berteraskan tuntunan wahyu Yang Maha Esa. Sebab itulah Islam tidak pernah memisahkan elemen ketuhanan dengan kehidupan sebagaimana yang difahami dalam ideologi sekular yang cuba diketengahkan kepada masyarakat kita.