Sabtu, Januari 27, 2007

Pengenalan Blog : Kearah Menjana Idealisme melalui Penulisan Blog.

Artikel ini ditulis oleh saya untuk mengisi ruangan Tekno Daie di website PKPIM

Assalamualaykum wbt..

Tahukah anda Revolusi Teratai Puteh di negara China hasil daripada nota-nota kecil yang ditanam dalam kuih bulan yang dijual kepada seluruh rakyat China. Apabila rakyat China faham (isi kandungan nota-nota kecil) , gelombang rakyat memuncak.


Ungkapan fakta di atas cukup menarik perhatian saya untuk mengajak rakan-rakan untuk mekaji kaitan fakta di atas dengan artikel pengenalan Siri Tekno Daie – Diskusi Blog yang di kendalikan oleh saya dalam ruangan ini..

Jelas apabila kita memahami dari tindakan Revolusioner Teratai Putih itu, yang hanya menggunakan nota-nota kecil untuk menyebarkan idealisme kepada rakyat... cuba bayangkan , jika kita memanfaatkan penulisan blog yang sarat dengan isi idealisme segar dan positif seorang mahasiswa...........sebagai contoh , penulisan kearah membina Mahasiswa yang mempunyai jatidiri, ciri sahsiah muslim cemerlang, siri pengembaraan dan kajian tamadun (seperti GPTD) , dan pelbagai topik yang hanya dengan menulis dan menyiarkannya di blog..... berbagai lapisan masyarakat akan membacanya dan memahami isi kandungan penulisan anda atau mungkin penulisan anda akan menjadi rujukan panduan....



Dunia Blog

Kecanggihan dunia teknologi maklumat hari ini telah memungkinkan banyak perkara. Selain saling berhubung dengan menggunakan mel elektronik ataupun e-mel, pengguna juga boleh memiliki laman web sendiri sama ada secara percuma ataupun berbayar.

Dan kini wujud fenomena baru dikalangan generasi muda di dalam dunia ICT yang dipanggil weblog. Bukan mudah untuk menerangkan apa itu weblog ataupun blog kepada mereka yang tidak celik ICT (Information & Communication Technologies) .

Secara istilah, weblog bermaksud log ataupun buku log (buku yang saya jadikan catatan nota semasa di bangku menengah) yang ditulis menggunakan laman web tertentu samada dari perkhidmatan blogger, blogsome, blogdrive dan lain-lain. Dari situlah datangnya perkataan weblog.

Ia boleh dianggap sebagai menulis catatan ataupun diari secara online. Catatan tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja setelah penulis blog tersebut memilih untuk menyiarkan blog tersebut di lamannya.Kewujudan weblog telah menimbulkan semula minat menulis di kalangan kumpulan tertentu khususnya generasi muda.

Agak ramai penulis dikalangan aktivis gerakan mahasiswa mahupun penulis sastera mutakhir yang telah memiliki blog sendiri. Antara yang dapat dikesan ialah http://hilmimadani.blogspot.com (Hilmi Ramli Presiden PKPIM) http://gptd.blogspot.com (Juifitri Joha-ABIM),
http://tehranifaisal.blogspot.com Faisal Tehrani, Saifullah Al-Maslul (www.saifullahzulkifli.blogspot.com) , dan lain-lain lagi.



Generasi Muda Dan Blogger
Internet merupakan salah satu medium komunikasi yang semakin popular di negara kita. Selaras dengan hasrat dan impian kerajaan untuk menerapkan budaya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di kalangan rakyatnya, laman-laman web serta portal yang dicipta oleh warga tempatan juga wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Budaya ICT kini telah menular di kalangan generasi muda khususnya remaja dan mahasiswa kita dan ia seakan menjadi trend masa kini. Mereka bukan sahaja mencipta lawan web sendiri, malah ada juga yang menjadikan kemahiran tersebut bagi menambah pendapatan.

Begitupun, untuk memiliki sebuah laman web sendiri memerlukan kos yang agak tinggi. Alternatifnya, remaja boleh mencurahkan idea penulisan mereka melalui blog di laman web yang amat popular masa kini.

Jika dahulu media cetak seperti akhbar dan majalah menjadi tumpuan remaja berkarya dan meluahkan pendapat, kini mereka memilih untuk menggunakan penulisan dalam blog. Ia popular kerana ciri-cirinya yang cepat, mudah serta skopnya yang meluas.




Kreativiti penulis Blog

Tidak ada garis panduan tentang apa yang boleh ataupun tidak boleh ditulis di dalam sesebuah blog. Ia sebuah wadah bebas yang tidak mengehadkan sama ada bentuk tulisan, kandungan yang ingin ditulis ataupun panjang setiap tulisan yang dipanggil entri.

Setiap blog mempunyai tema-tema tertentu bergantung kepada kehendak setiap pemiliknya. Ada yang hanya melaporkan hal-hal yang berlaku sekeliling dirinya. Tidak kurang juga melaporkan semula apa yang telah dilaporkan oleh akhbar utama tetapi ditambah dengan komentar peribadinya. Ada yang memilih untuk bercakap darihal bidang tugas hakikinya setiap hari. Terdapat juga penulis blog yang mengutarakan hal penulisan kreatif.

Mereka juga tahu bahawa tulisan mereka ini boleh dibaca oleh pelawat-pelawat yang singgah di blog mereka.



Kemahiran Menulis melalui Blog
Menulis adalah kerja yang berterusan dan memerlukan banyak latihan. Seorang penulis yang tidak bercadang untuk menghasilkan sebarang karya masih wajib menulis setiap hari.

Ini akan meningkatkan kemahiran menulis supaya penulis tidak hilang bakat dalam penulisannya. Menulis blog menjadi alternatif dalam bidang penulisan kreatif (sebagaimana yang dilihat dari contoh-contoh blog di atas). Pemilik-pemilik blog boleh meneruskan kemahiran berbahasa dalam setiap entri seolah-olah mereka sedang menulis sebuah karya untuk dihantar ke media cetak.

Blog juga boleh disemak dan diedit semula walaupun setelah disiarkan oleh pemiliknya.

Kebanyakan nama penulis blog yang telah disebutkan terdahulu memilih gaya penulisan dalam bahasa yang terkawal walaupun isi entrinya agak santai. Selain daripada memasukkan maklumat terkini tentang dunia penulisan mereka, penulis blog juga membuat komentar terhadap mana-mana isu yang wajar disentuh.

Bergantung kepada populariti setiap blog, ada sesetengahnya yang mendapat lebih daripada 50 - 100 orang pelawat setiap hari.




Adab-adab menulis Blog Islamik

Saya begitu tertarik dengan nasihat seorang Ilmuwan negara, Prof Wan Mohd Nor Bin Wan Daud semasa belaiu menyampaikan ceramah Pengenalan Kursus pandangan Hidup Islam anjuran Akademi Pemikiran Pelajar Islam Malaysia – PKPIM pada 6 Januari 2007 yang lepas, beliau telah menjawab satu persoalan tentang bagaimana adab seorang yang ingin menulis tentang isu agama di blog dengan berpandukan hadis dan al-quran tetapi tidak mahir dalam ilmu alat seperti bahasa arab dan sebagainya lebih-lebih lagi apabila melihat isu agama yang diutarakan dalam sebahagian penulis-penulis blog berkisar kepada pemikiran taqlid, tajdid, liberal dan sebagainya.

Beliau menjawab ,
Yang paling utama adalah ilmu pengetahuan, dan ilmu pengetahuan itu bukan datang sertongkol tetapi datang sedikit demi sedikit. Jadi bila kita tahu sedikit, jangan membuat kenyataan yang terlalu besar-besar...contohnya isu mentakfirkan, memurtadkan orang... jadi lebih baik kalau kita belum ada ilmu lagi, kita mendalami sedikit lagi...dan jika mahu menulis pun , penulis perlu letakkan hujah2 yang paling baik dan bersedia untuk diperbaiki.


Prof juga ada memperingati audien pada malam itu terutamanya penulis blog agar berhati-hati dalam menulis blog kerana pada pengamatan beliau, penulis yang menulis di blog , menurut beliau bila kita menulis di blog, kita akan terlalu cepat menulis, dan kalau kita membuat silap , ia terlalu cepat menyebar....

Beliau menyarankan,
jika ingin juga menulis di blog, tulislah sesuatu yang mudah-mudah seperti pengalaman peribadi ataupun boleh mengutip pandangan orang-orang yang lebih besar (seperti ulama muktabar), contohnya jika anda ada membaca buku yang baik , anda kongsikan buku itu dengan rakan-rakan blogger yang lain dengan cara mengutip semula (penulisan) atau mengambil ”paragraph”nya. Supaya anda menunjukkan kepada sumber-sumber yang muktabar, bukan dengan membuat pandangan sendiri.


Kebebasan Menulis

Tidak dinafikan juga terdapat penulis blog yang menulis dalam bahasa rojak ataupun bercampur aduk antara pelbagai bahasa dalam satu ayat. Ini salah satu kelemahan blog lantaran tiada editor yang boleh membetulkan keadaan ini. Pun begitu, berbalik semula pada konsep blog yang bebas, perkara sebegini tidak dapat dielakkan.

Dari aspek keselamatan pula, menulis di dalam blog pula memudahkan orang lain menceduk idea ataupun menyalin terus isi –isi artikel yang telah ditulis. Pada pandangan saya, penulis seeloknya menyiarkan karya ataupun tulisan yang telah tersiar di media cetak dengan menyatakan sumber. Ini kerana, walaupun setiap artikel yang disiarkan di blog merupakan hak cipta penulisnya, seorang penulis blog juga harus mengambil sikap berhati-hati.

Penulis muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan sewajarnya mengambil peluang memiliki blog sendiri. Kini banyak laman web yang menyediakan perkhidmatan blog secara percuma. Sebagai contoh, www.blogger.com (yang menjadi pilihan saya) memberikan penerangan langkah demi langkah untuk memiliki blog.

Konklusi Sudah tiba masanya penulis-penulis muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk mula menggunakan mekanisme terbaru ini dalam menyampaikan idealisme kepada masyarakat dipelbagai lapisan supaya perkembangan sistem teknologi melalui penyertaan mahasiswa menjadi seiring dengan kemajuan negara yang dikecapi.

-Fityan Afzan-


Artikel seterusnya akan berkisarkan kepada siri pembelajaran untuk membina Blog berasaskan Blogger (www.blogger.com)





Isnin, Januari 15, 2007

Berita : Isu bumiputera dalam FTA

WASHINGTON 14 Jan. – Keutamaan kepada bumiputera kekal sebagai “isu paling mencabar” dalam perbincangan perdagangan bebas Amerika Syarikat-Malaysia yang sedang berjalan, kata ketua perunding AS, Barbara Weisel.

Sementara AS tidak melihat kepada menghapuskan sama sekali program sosial bagi orang-orang Melayu dan kumpulan-kumpulan pribumi, “Kami mahu melihat lebih ketelusan, lebih boleh diramal” terutamanya dalam pemerolehan dan perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam persidangan berita maya berikutan pusingan perbincangan keempat di San Francisco di sini baru-baru ini.

Dalam sektor perkhidmatan, AS mendesak liberalisasi keutamaan bumiputera dalam telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, penghantara ekspres, komputer dan pengedaran kuasa, katanya.

Menggelar isu bumiputera “amat sensitif... penting daripada segi politik”, Weisel berkata, tiada ruang bagi tolak ansur.

“Saya fikir terdapat cara-cara untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu ini yang tidak menjejaskan dasar-dasar yang telah wujud bagi masa yang lama dan membolehkan kerajaan Malaysia membuka pasaran.”

Bagaimanapun, isu keutamaan-keutamaan bumiputera perlu diusahakan sebelum kedua-dua pihak boleh menghasilkan persetujuan yang komprehensif.

“Kami tidak sanggup menutup perundingan dan datang semula kepadanya dalam masa lima tahun,” katanya.

– Bernama

Cetusan Saintis Islam

SPECIAL FEATURE: ISLAMIC SCIENCE AHEAD OF ITS TIME
Exhibition at the KLCC (Details here)

Oleh Hafizah Iszahanid dan Nasron Sira Rahim
Berita Harian

Rahsia ilmu sains, teknologi dinyatakan dalam al-Quran terus dibongkar

“BACALAH dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah; yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya,” (al-Alaq: 1 hingga 5).




Dimulakan dengan wahyu pertama daripada Al-Quran itu, dunia Jahiliyah yang menggambarkan kemunduran tamadun manusia dari segi sains, teknologi dan intelektual sekitar zaman Rasulullah SAW terus dipacu menuju ke puncak pencapaian.

Berdasarkan teori dan asas pengetahuan pelbagai bidang yang termaktub dalam al-Quran, kajian demi kajian dipelopori umat Islam mewujudkan satu tamadun gemilang dari sudut ilmu, khususnya sains dan teknologi.

Ketika al-Quran diturunkan, pelbagai fakta di dalamnya jelas masih asing di kalangan manusia ketika itu.

Tiada siapa mengetahui hakikat kehidupan seperti tertera dalam al-Quran antaranya cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), pokok menghasilkan bahan bakar (Yaasiin: 80), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61) dan semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125).


Berbekalkan maklumat daripada kalam Allah itu, umat Islam mula meneroka ilmu sains dan kegemilangannya memuncak pada adab ketujuh apabila umat Islam menunjukkan kecenderungan dan minat mengkaji serta mempelajari pelbagai pengetahuan.

Menjelang pertengahan abad kesembilan, ilmu pengetahuan yang semakin berkembang membuktikan fakta sains dibawa al-Quran adalah benar dan ilmu dalam kitab itu mendahului zaman ia diturunkan.

Ia sekali gus membuktikan kitab itu sememangnya diturunkan Allah SWT dan menafikan dakwaan ia ciptaan manusia.

Kebenaran fakta al-Quran semakin meyakinkan dan pelbagai rahsia kitab suci itu terus digali sehingga kegemilangan sains terus disingkap dalam tamadun Islam menerusi perkembangan ilmu dan penciptaan teknologi.

Muncullah nama-nama besar ilmuwan dan saintis Islam seperti Ibnu Haitham (sains optik), Ibnu Yunus (penciptaan jam) dan Ibnu Nafis (sistem lengkap peredaran darah), Ibnu Sina (sains perubatan), al-Biruni (astronomi) dan al-Khawarizmi (matematik) dan Ibnu Rusyd (falsafah).


Malah, ramai tidak mengetahui ilmuwan Islam mendahului saintis Barat dalam penemuan pelbagai teori, seperti penerokaan awal Ibnu Haitham mengenai hakikat graviti jauh lebih awal sebelum ia dijadikan teori oleh Isaac Newton.

Hal sama ditemui menerusi konsep penerbangan seperti diperjelaskan Ibnu Firnas dan kemudian diadaptasi Wilbur Wright dan Oliver Wright. Abbas ibn Firnas saja sudah meneroka kajian cakerawala kira-kira 600 tahun sebelum Leonardo da Vinci melakukannya.

Perkembangan ilmu menzahirkan pelbagai ciptaan teknologi dan inovasi. Cendekiawan Islam menghasilkan serbuk salpetre sebagai ubat bedil, penggunaan angka sifar dalam matematik dan proses penyulingan untuk memisahkan bendasing dalam campuran cecair.

Balai cerap untuk mengkaji bintang, peta, glob, kincir air dan angin, bangunan pengisar bijiran termasuk kereta perisai turut dihasilkan saintis Islam ketika itu.

Malangnya, pengembangan ilmu dan kegemilangan Tamadun Islam itu tidak dapat diteruskan, seolah-olah usaha itu seumpama api yang kehabisan minyak, semakin lama semakin malap bermula ketika berakhirnya Kerajaan Abbasiyah. Pelbagai maklumat dan penemuan penting juga dikatakan hilang ketika berlakunya Perang Salib.

Masyarakat Barat yang suatu ketika dulu turut menggali ilmu hasil cernaan cendekiawan Islam sebaliknya mula mengambil alih peranan mengembangkan ilmu pengetahuan.

Malah, seolah-olah cuba menafikan kegemilangan cendekiawan Islam, Barat menukarkan nama saintis Muslim dengan pelbagai nama antaranya Ibnu Sina kepada Avicenna, Al-Biruni (Alberuni), Al-Battani (Albetagnius), Ibnu Haitham (Alhazen), Al-Kindi (Alkindus) dan Ibnu Rushd (Averroes). Sehingga kini, tidak dapat dinafikan kajian dan pengembangan ilmu pengetahuan tidak lagi didominasi umat Islam. Kegemilangan ilmu pada tamadun Islam kini sekadar mampu dikenang, ia sekadar mampu dibanggakan pencapaiannya.

Dengan pengaruh besar dan strategi yang tidak dinafikan berkesan, manusia termasuk umat Islam kini lebih mengenali ilmuwan Barat dalam pelbagai bidang; Issac Newton lebih dikenali daripada Ibnu Haitam dan Wright bersaudara lebih dikenali daripada Ibnu Firnas.

Bagaimanapun, kegemilangan Islam menguasai ilmu ingin terus diabadikan. Saintis Islam, Dr Fuat Sezgin menjejak, mengumpul dan mengembalikan khazanah ilmu hasil Tamadun Islam yang ‘hilang’ menerusi penubuhan Institut Sejarah Sains Islam-Arab di Frankfurt di Johann Wolfgang Goethe Universiti, Frankfurt, Jerman pada 1982.

Sebahagian khazanah sains Islam yang dikumpul penyelidik itu akan dipamerkan menerusi ‘Pameran Sains Islam Mendahului Zaman’ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai esok hingga 14 Januari ini.

Sebanyak 150 artifak dan hasil penemuan sains serta penerokaan umat Islam dalam bidang matematik, kesenian dan seni bina; penciptaan dan penemuan perubatan astronomi, pengembaraan dan geografi serta teknologi akan dipamerkan selama seminggu di KLCC dan dua bulan setengah di Pusat Sains Negara untuk dihayati bersama generasi hari ini.

Pameran julung kali bermatlamat mencetuskan kembali kesedaran pentingnya mengkaji dan menerokai sains dan teknologi seterusnya membangkitkan semangat generasi muda meneruskan kesinambungan ilmuwan Islam terdahulu.

Ia juga bertujuan menyedarkan semua pihak bahawa ilmu agama dan ilmu pengetahuan perlu diseimbangkan seperti diamalkan ilmuwan Islam terdahulu yang bukan sekadar mendalami agama, sains dan kesusasteraan, malah mencipta peralatan dengan fungsi melangkaui zaman.

Lebih penting, pencernaan ilmu pengetahuan akan mengembalikan kesedaran manusia kepada hakikat ciptaan alam seperti difirmankan Allah SWT: “(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka’," (Ali Imran: 191).


Sabtu, Januari 13, 2007

Profesor AS akui solat berjemaah tersirat aspek sains fizik

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEORANG profesor fizik di Amerika Syarikat (AS) membuat satu kajian kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. BErdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita berasa letih dan lesu selepas melakukan kegiatan seharian.

Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dalam minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas dalam badan kita.

Ketika solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh.

Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Beliau berkata, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.

Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan.

Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.

Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.

Seperti solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.

Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan dalam fikiran profesor itu mengenai solat Isyak yang dikerjakan sebanyak empat rakaat.

Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Selepas kajian lanjut dilakukan , didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak.

Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.

Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.

Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam semesta ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.