Disediakan oleh Biro Penerangan ABIM pusat
Pilihanraya adalah manifestasi perjalanan demokrasi sesebuah negara. Melalui pilihanraya, rakyat telah diberikan kuasa untuk mencorakkan masa depan negara mereka. Untuk berbuat demikian, rakyat perlu memilih sesebuah parti ataupun individual yang dirasakan mampu memenuhi harapan serta cita-cita mereka. Untuk 16.34 juta rakyat Turki yang turun mengundi pada 22 Julai yang lalu, tarikh itu adalah manifestasi jelas dukungan mereka terhadap AKP di bawah kepimpinan Recep Tayyip Erdogan.
Meskipun ramai telah meramalkan kemenangan akan berpihak kepada AKP, namun ramalan itu sama sekali tidak menjangka AKP akan mencapai kejayaan yang gemilang dalam pilihanraya yang mempertaruhkan 550 kerusi parlimen. Meskipun AKP hanya mampu meraih 341 kerusi jika dibandingkan dengan 363 yang diperolehi pada November 2002 yang lalu, namun ia berjaya meningkatkan jumlah undi popular yang diraih untuk pilihanraya pada kali ini.
Secara keseluruhan AKP telah meraih sebanyak 46.6% undi popular daripada 35,017,315 undi yang dikira secara keseluruhan. Jumlah itu sangat besar jika dibandingkan dengan jumlah yang diperolehi oleh dua pencabar terdekatnya iaitu CHP (20.85%) dan MHP (14.29%). Kejayaan AKP lebih bermakna apabila ia telah berjaya menembusi beberapa kubu kuat CHP dan MHP seperti di Ankara dan Izmir . Walaupun AKP tewas di kawasan yang dimenangi oleh kedua-dua parti tersebut, namun ia telah berjaya meraih undi popular yang sangat menggalakkan di sesetengah kawasan tersebut.
MENGAPA AKP MENANG?
Kegagalan CHP, MHP serta deretan parti sekular yang lain amat mengejutkan. Kenyataan adalah berdasarkan kepada siri-siri demonstrasi yang diadakan oleh rakyat Turki beberapa bulan menjelang pilihanraya. Bahkan dalam tinjauan yang dilakukan oleh akhbar-akhbar harian utama di Turki, seakan ia menggambarkan kebimbangan rakyat Turki terhadap peningkatan proses Islamisasi yang didakwa didalangi oleh AKP. Ia termasuk meningkatnya jumlah wanita Turki yang mengenakan tudung di tempat-tempat awam.
Bahkan ada akhbar-akhbar harian di Turki mendakwa bahawa golongan wanita merupakan penggerak utama di sebalik siri-siri demonstrasi yang diadakan sebelum ini. Kebimbangan ini seakan dapat dikesani oleh AKP yang turut membariskan sejumlah calon wanita yang tidak mengenakan tudung! Untuk pilihanraya kali ini, 26 daripada 46 calon wanita di parlimen berasal daripada AKP. Dalam struktur hirearki politik Turki, wanita menduduki tangga terbawah serta sering dipinggirkan. Meskipun calon wanita AKP tidak ramai, namun sedikit sebanyak ia dapat mempengaruhi pertimbangan golongan tersebut pada 22 Julai yang lalu.
Kejayaan AKP juga turut dibantu dengan kegagalan pesaing-pesaing politiknya dalam memikat hati para pengundi. Sebagai contoh, dalam merangka proses pemulihan ekonomi negara itu, CHP yang dipimpin oleh Deniz Baykal dilihat lebih banyak menyogok para pengundi dengan penyelesaian yang bersifat jangka pendek. Antaranya ialah dengan memberikan bantuan kewangan kepada golongan muda serta wanita di samping menawarkan beberapa subsidi, yang turut menerima kritikan hebat di kalangan pengamat ekonomi Turki.
Bahkan pada saat-saat akhir sebelum pilihanraya, Baykal menuduh Erdogan mengamalkan nepotisme di samping mempertikaikan jumlah keseluruhan harta peribadi milik beliau. Nyata serangan samasekali tidak menggoyahkan kepercayaan rakyat Turki terhadap kemampuan AKP untuk menerajui negara itu untuk beberapa tahun akan datang. Dalam erti kata lain, retorik sebagai pendukung tegar fahaman sekular sahaja tidak memadai untuk membina keyakinan mereka untuk menyokong parti-parti tersebut.
TURKI DAN EROPAH
Kejayaan Erdogan ini juga merupakan simbol keyakinan rakyat Turki terhadap usaha jangka panjang beliau untuk memajukan Turki. Ia termasuk usahanya untuk membawa Turki menggangotai Kesatuan Eropah (EU). Jika ia menjadi kenyataan, Turki akan mendapat peluang perdagangan yang lebih luas untuk menjana proses pemulihan ekonominya. Ini sekaligus membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk Turki. Namun, Erdogan serta Turki perlu melalui beberapa halangan sebelum perkara ini menjadi kenyataan.
Halangan paling besar hadir daripada Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy, yang menentang kuat usaha EU untuk membuka pintunya kepada Turki. Walaupun berulang-kali menegaskan bahawa penentangan ini dibuat bersandarkan kepada alasan geografi serta politik, namun ia turut dibayangi oleh kenyataan Jacques Myard yang khuatir kemenangan AKP akan mengancam keteguhan ideologi sekular yang telah didirikan di Turki. Beliau adalah ahli jawantankuasa hal ehwal luar Perancis. Ia jelas bertentangan dengan reaksi positif di kalangan negara anggota EU seperti Britain , Sweden , German dan Austria .
Bahkan Amerika Syarikat menerusi kenyataan yang dibuat oleh pembantu setiausaha negara untuk hal ehwal Eropah dan Eurasia, Matt Bryza, menggangap bahawa kemenangan ini merupakan isyarat positif terhadap perkembangan demokrasi di negara itu. Meskipun begitu, Turki masih memerlukan masa sebelum keanggotaannya diterima oleh EU. Ia berasaskan kepada kenyataan Presiden EU, Jose Manuel Barosso bahawa Turki masih belum bersedia untuk diterima sebagai anggota keluarga terbaru EU. Kenyataan ini dilihat cuba untuk mengambil hati beberapa negara yang menentang kemasukkan Turki seperti Perancis dan Greece . Justeru, adalah sukar untuk meramalkan bilakah Turki itu akan menjadi kenyataan.
KEMENANGAN UNTUK DEMOKRASI
Dalam artikelnya yang disiarkan oleh akhbar Zaman, John Esposito menggangap bahawa golongan sekularis merupakan ancaman yang terbesar kepada kestabilan politik Turki. Dengan merujuk secara khusus kepada siri-siri campurtangan yang dilakukan oleh pihak tentera pada masa lalu, Esposito menggangap bahawa golongan sekularis Turki merupakan ancaman sebenar kepada demokrasi serta kebebasan bersuara di negara itu. Bahkan, beliau menyelar tindakan golongan sekularis ala Turki yang tidak menghormati kebebasan hak asasi manusia.
Sebagai contoh, isu wanita mengenakan tudung di tempat-tempat awam tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman utama kepada ideologi sekular di negara tersebut. Esposito menegaskan bahawa sekularisme tidak menghalang seseorang individu itu dari mengamalkan kehendak agamanya, selagi mana individu itu tidak mencampur adukkan ia dengan urusan politik serta pentadbiran negara! Bahkan isu ini juga (kebebasan bersuara serta hak asasi manusia) merupakan antara syarat utama yang dikenakan oleh EU sebelum keanggotaan Turki boleh dipertimbangkan. Sebarang tindakan yang boleh mengancam perjalanan demokrasi di negara itu, akan hanya menjejaskan peluang negara itu untuk diterima ke dalam EU!
Akhbar Zaman juga turut menyiarkan keyakinan di kalangan wakil masyarakat minoriti Yahudi , Greece serta Armenia terhadap pentadbiran AKP. Kenyataan adalah sebagai membalas propaganda bahawa golongan-golongan ini menjadi mangsa diskriminasi di bawah kerajaan Islam yang diterajui oleh Erdogan. Meskipun keyakinan tidak dapat melindungi AKP daripada sebarang kritikan serta serangan daripada pencabar politiknya, sekurang-kurangnya ia merupakan manifestasi terhadap kemenangan rakyat Turki yang mendambakan perubahan setelah sekian lama. Dalam erti kata lain, ia adalah simbol kemenangan demokrasi di Turki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan