Jumaat, September 14, 2007

Mengacara Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang

Hari ini , saya telah ditugaskan oleh pimpinan ABIM Kelantan, untuk mengacarakan Majlis Anugerah Pelajar cemerlang yang berlangsung di Dewan Rumah Puteri Harapan, di Taman Sabariah.

Majlis ini telah dihadiri kira-kira 200 orang hadirin yang terdiri daripada para pelajar insititusi pendidikan ABIM , ibubapa dan ahli-ahli ABIM. Pada Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang tersebut, kira-kira 60 orang pelajar cemerlang yang terdiri daripada anak-anak ahli ABIM Negeri Kelantan telah menerima penghargaan di atas kecemerlangan mereka dalam peperiksaan SPRA, UPSR, PMR,SPM dan STAM. Majlis perasmian dan penganugerahan telah disempurnakan oleh Mohamad Raimi Ab.Rahim, Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat. Turut Hadir ke Majlis itu, 3 wakil pimpinan PKPIM iaitu saudara Abdul Muntaqim (Naib Presiden) , Shamsiah (Ketua Hewi) dan Khalidah (Bendahari)

Dalam majlis setengah hari ini juga, ABIM turut menjemput adik Siti Fatimah Mukhtar untuk berkongsi rahsia kejayaan beliau memperolehi kecemerlangan dengan meraih 18A (17 A1, 1 A2) dalam peperiksaan SPM 2006 sekaligus melayakkan beliau sebagai pelajar terbaik negara. Beliau yang merupakan bekas penuntut Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu merupakan pelajar yang bukan sahaja bijak dari segi akademik bahkan beliau merupakan terlibat aktif dalam lebih sebelas kegiatan ko-korikulum.

Sebagai Ketua Pengawas serta Ketua Rumah di sekolah, kualiti kepemimpinan beliau memang amat terserlah selain penonjolan beliau dalam arena debat, kuiz pelbagai peringkat dan sukan badminton yang menjadi kegemaran beliau.

Tambah menarik, majlis yang berlangsung turut diisi dengan tips-tips pendidikan dan pengalaman membentuk kecemerlangan anak-anak oleh Hj. Mukhtar dan Hajjah Aisyah, ibu dan bapa kepada adik Siti Fatimah. Menurut pasangan ini, pembinaan keluarga Islam sebagai salah satu tuntutan agama yang diterapkan dalam ABIM merupakan salah satu faktor pendorong mereka untuk mendidikan anak-anak dengan cemerlang agar menjadi contoh terbaik kepada umat. Selain itu, tahap kawalan disipilin yang tinggi, pemantauan kemajuan pembelajaran, penyediaan kemudahan pendidikan serta hubungan akrab dengan para guru dan teman anak-anak merupakan antara kaedah pasangan ini membesar dan mendidik kesemua anak-anak mereka. Paling penting menurut mereka ialah doa tulus dan tawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t setelah segala usaha dicurahkan bagi memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

Alhamdulillah selesai program, saya dan teman-teman PKPIM berkesempatan untuk mengadakan satu pertemuan khusus diantara pelajar-pelajar cemerlang untuk berdialog serta bertukar-tukar pandangan. Namun hadir juga rasa kecewa di hati bila sebahagian besar daripada ibu-bapa tidak cakna tentang pertemuan ini. Mereka lebih tertarik untuk curi-curi pulang awal berbanding memberi peluang kepada anak mereka untuk mengikuti pertemuan ini.
Walaubagaimana pun saya rasa bersyukur dengan kehadiran adik-adik yang setia untuk bersama dalam pertemuan ini, mereka telah mendapat input berguna tentang persediaan mereka untuk ke IPT disamping dapat mengenali persatuan Pelajar Kebangsaan seperti PKPIM.

Tiada ulasan: