Jumaat, November 24, 2006

Diari : Ditemuramah MERDEKA CENTRE

Pada 2 September 2006, saya telah ditemuramah oleh wakil daripada MERDEKA CENTER bertempat di hotel perdana . Isu yang ditemuramah oleh wakil tersebut berkisarkan kepada sosio ekonomi dan Politik Negeri Kelantan berdasarkan kepada perspektif gerakan pelajar.


Saya mewakili Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan memberikan pandangan mengenai sosio ekonomi dan landskap politik di negeri Kelantan tersebut bersandarkan sikap dan budaya Persatuan Pelajar Islam yang lebih bersifat non-partisan tanpa menyatakan pandangan yang menyokong mana-mana parti politik di negeri ini...



Pada hari yang sama juga, saya turut dijemput mewakili ABIM Kelantan mengikuti Seminar Islam dari sudut Undang-undang Dan Perlembagaan Malaysia berkaitan Isu Murtad yang dianjurkan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Gabungan Profesional Kelantan (GPK).

2 september 2006 (Sabtu)

Khamis, November 23, 2006

MUHASABAH PEMIMPIN : KRISIS HATI SEORANG PEMIMPIN

Assalamualaykum wbt.. artikel ini saya petik daripada kiriman emel yang dihantar oleh sahabat saya dari ABIM Selangor, Anas Jaafar ... Rasanya menarik untuk dijadikan iktibar bagi yang ditaklifkan untuk menjawat jawatan sebagai pimpinan....
Hati kita boleh berkata-kata dan merasa. Bahasa hati hanya boleh difahami oleh pemiliknya dan Penciptanya. Pemimpin kesayangan Allah sudah pasti menjalankan urusan Allah kerana ingin mendapatkan nama di sisi Ilahi bukan di hati para insani. Iblis akan terus pastikan bahawa seorang pemimpin itu hanya akan hebat pada zahirnya, tetapi memiliki hati yang sentiasa berpenyakit. Antara penyakit hati seseorang pemimpin itu ialah:-

  • DIA suka diberi perhatian selalu, dilayan dan mecari-cari jalan supaya dia dipuji. Dia juga tidak suka pemimpin lain mendapat pujian yang lebih tinggi daripadanya.

  • DIA suka mempamerkan karismanya, kesibukan dan keberaniannya dalam melakukan sesuatu kerja sambil dipandang oleh pengikutnya. Sedang hakikatnya dia seorang pemalas dan penakut.

  • DIA mudah menghukum dan menuduh pengikutnya tanpa usul periksa. Ini didorang oleh rasa bimbang pengikutnya itu tidak menghormatinya.

  • DIA suka menegur dan memberi semangat kepada orang lain. Hakikatnya dia sukar untuk menerima nasihat dan suka memperlecehkan teguran orang di bawahnya.

  • DIA akan cuba membuat perubahan demi menaikkan namanya dan cuba memperkecilkan jasa dan perubahan yang telah dilakukan oleh pemimpin sebelumnya. Dia juga akan merendah-rendahkan kemampuan pelapis selepasnya.

  • DIA suka menyembunyikan kesalahannya dan sukar mengaku salah. Oleh sebab dia bijak berbicara, akhirnya kesalahan itu boleh menjadi kesalahan orang lain.

  • DIA mempamerkan sifat rendah diri di hadapan pengikutnya, supaya dia dikenali sebagai seorang pemimpin yang baik, sedangkan itu bukanlah sifatnya yang sebenar.

  • DIA suka berjalan dengan orang yang tidak setaraf dengannya dan tidak suka berjalan bersama orang yang lebih tinggi darjat daripadanya.

  • DIA suka mencari pengaruh dari kalangan pengikutnya kemudian menceritakan kepada pemimpin yang lain bahawa dia selalu menjadi tempat rujukan (mengadu) dan selalu diberi perhatian.

  • DIA suka membuat kenyataan yang berbeza daripada pemimpin yang lebih tinggi daripadanya. Jika dia yang tertinggi, dia akan meremehkan pendapat pemimpin lain.

  • DIA suka mengambil kesempatan di atas penghormatan dan kesetiaan orang lain terhadapnya.
Moga Allah meluruskan hati kita sebagai pemimpin yang dipimpin untuk memimpin.

Jumaat, November 17, 2006

Kepimpinan Islam : Necmettin Erbarkan


Necmettin Erbarkan, pengasas gerakan Islam moden di Turki jika diajak berdiskusi mengenai teknologi, ia akan berbicara sebagai seorang pakar teknologi. Jika diajak berbicara tentang politik, dia akan berbicara sebagai tokoh yang menyedari dan memahami serta mengalami kehidupan politik. Apabila berbicara tentang suatu desa ia akan menjelaskan sejarahnya dan penduduknya. Apabila berbicara tentang kilang ia akan menjelaskan seperti layaknya seorang pakar.

Tokoh ini mampu mendirikan sebuah pergerakan Islam padahal berbicara tentang Islam di Turki suatu hal yang jarang terjadi, dan undang-undang Turki memandang sepatah perkataan Islam boleh mengakibatkan perlakunya menginap di sel penjara selama lima tahun!


Pemimpin Islam di zaman sekarang dituntut memiliki wawasan yang luas dan ilmu pengetahuan yang mencakupi keseluruhan aspeknya sehingga ia mampu mendorong pergerakan Islam kehadapan dalam waktu dan tempat yang sesuai.

Pemimpin Islam harus memegang erat prinsip, ajaran dan konsep. Tidak boleh mundur dalam keadaan apapun. Seorang tentera kadang-kadang kuat kadang-kadang lemah akan tetapi panglima adalah adalah orang yang menentukan sikap, mengobarkan seruan atau menghilangkannya.


Jika kita memandang bahawa misi pengajaran adalah unsur pergerakan Islam moden yang konsep-konsepnya berdasarkan pada Al-Quran dan Assunnah Nabi S.A.W yang suci, maka para pemimpin pergerakan harus berpegang kepada prinsip-prinsip ini : menegaskan dan iltizam serta menerapkan prinsip-prinsip ini agar di ikuti oleh anak buahnya.

Isnin, November 13, 2006

Diari : Merasmikan Majlis Ihtifal Taski ABIM Daerah Pasir Mas

11 November 2006

Hari ini, saya ditugaskan oleh ABIM Negeri Kelantan untuk merasmikan Majlis Ihtifal Taski ABIM daerah Pasir Mas. Ihtifal ini menggabungkan dua buah Taski di daerah pasir Mas iaitu Taski Pondok Hj Omar dan Taski Al-Tarbiah. Bertempat di Dewan Perkumpulan Perempuan Daerah Pasir Mas, Majlis diadakan seawal jam 8.30 pagi. Majlis dimulakan dengan ucapan Al-Fadhil Ustaz Yaakub, NYDP ABIM daerah Pasir Mas. Sejurus kemudian disusuli dengan ucapan saya serta perasmiannya.

Majlis seterusnya dihiburkan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar Taski. Terpegun saya mendengar adik-adik pelajar ini membaca ikrar taski yang mengandungi "Ikrar As-Shobah" "Radhitubillah hirabba , Islami dina , Wa Muhammadan Rasula" dan beberapa ikrar lagi dengan semangatnya seakan-akan menggambarkan mereka sedang mengikrarkan janji pemuda generasi ABIM akan datang.... semoga mereka bakal menjadi generasi pemangkin kepada kebangkitan Islam pada masa akan datang..

Setelah melihat gelagat adik-adik pelajar membuat persembahan, majlis diakhiri dengan penganugerahan graduasi kepada semua pelajar taski sessi 2006. Penganugerahan sijil graduasi disampaikan oleh Al-Fadhil ustaz Yaakub untuk Taski Hj Omar dan saya menyampaikan anugerah graduasi kepada para pelajar Taski Al-Tarbiah. Majlis berakhir jam 11.00 pagi.

Tadarus Al-Quran

Hadirsebagai perasmi

Ustaz Yaakub (NYDP ABIM Pasir Mas)
memberi ucapan sebagai tuan rumah

memberi ucapan aluan perasmian

Ibu bapa yang hadir meraikan ..

Menyampaikan anugerah graduasi


Ustaz Yaakub turut menyampaikan anugerah graduasi
kepada adik-adik pelajar taski..






Jumaat, November 10, 2006

WEB TV : PBB membisu, Israel Terus Angkuh meratah Palestin!!



Kegagalan PBB dan kuasa besar dunia menyekat israel membunuh rakyat palestin, menyebabkan Rejim Tel Aviv semakin angkuh.. dan Rejim Zionis mengambil kesempatan terhadap sikap membisu barat khusus amerika utk melakukan pembunuhan beramai-ramai..ini jelas menerusi kenyataan PM israel yg akan terus membedil gaza walaupun orang awam menjadi mangsa..
( Sumber buletin Utama TV3).

MOTIVASI : Badrul Hisham menjadi COO pada usia 25 tahun

MOHD. Badrul Hisham Mansor menyasarkan tempoh 10 tahun akan datang untuk memperluaskan empayar perniagaan syarikat illuminax ke peringkat antarabangsa.

Minat yang mendalam dalam dunia perniagaan mengorak langkah semangat seorang anak muda ini untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang berorientasikan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Mohd. Badrul Hisham Mansor, 25, lulusan sarjana muda Pentadbiran Pemasaran dengan Multimedia dari Universiti Multimedia ini berhasrat mengembangkan perniagaan ICT dengan lebih serius. Dalam mengejar impian tersebut, susah payah serta keperitan yang ditanggung selama ini berbaloi apabila tertubuhnya illuminax Sdn. Bhd. (illuminax)Anak muda ini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut.

Wartawan, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto, MOHD. SHAHARANI SAIBI berkunjung ke pejabat illuminax baru-baru ini untuk berkongsi rahsia perniagaannya.

UTUSAN MALAYSIA: Boleh saudara ceritakan apakah pendorong utama yang menarik minat saudara melibatkan diri dalam perniagaan ICT?

MOHD. BADRUL HISHAM: Idea utama penubuhan syarikat ini adalah berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia teknologi maklumat yang seiring dengan pembangunan negara.

illuminax diasaskan oleh sepasukan tenaga kerja yang berdedikasi, berdaya saing dan berwawasan. Dengan tiga ahli rakan perniagaan ketika itu, kami merancang, mentadbir dan menyelaras segala pengurusan untuk perniagaan ini agar menjadi sebuah organisasi perniagaan bumiputera muda yang berani membawa cabaran global seiring saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan aspirasi, azam serta tekad dan cita-cita yang tinggi itu, maka tertubuhnya syarikat ini dengan hasrat menyahut cabaran negara untuk berdaya saing dalam dunia perniagaan yang penuh dengan cabaran.

Bilakah perniagaan ini bermula dan apakah jenis perniagaan yang dijalankan?

Perniagaan ini bermula pada tahun 2005, dengan sokongan padu oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui program usahawan muda. Melalui program sedemikian kami mempelajari pelbagai teknik dan pembelajaran yang berguna dalam mengendalikan sesebuah perniagaan yang efektif dan cekap.

Program tersebut dapat membantu usahawan bumiputera dengan menyediakan kemudahan infrastruktur kepada kami. Sikap keprihatinan yang tinggi oleh Mara dan kerajaan sukar kami gambarkan. Dengan sokongan yang padu dan berterusan itu maka kami menubuhkan syarikat ini yang berorientasikan ICT, perundingan dan perdagangan am. Lambang kepada komitmen syarikat ini terhadap wawasan yang diciptanya adalah syarikat yang mempunyai pasukan pengurusan yang jitu, tepat dan bervisi.

Selaras dengan penglibatan yang menyeluruh dalam dunia perniagaan ICT, kami melakukan kajian terperinci melalui bidang telekomunikasi, teknologi penjimatan global dan produk-produk yang berdaya saing dan perlu diterokai hari ini.

Dengan bermodalkan RM100,000, kami menyahut cabaran memulakan operasi perniagaan dengan melalui jalinan kerjasama pelbagai syarikat telekomunikasi sebagai tapak dan asas memantapkan perniagaan kami serta platform dalam memastikan perniagaan ini mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kami yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang, kami berupaya memperluaskan empayar perniagaan ke luar negara dalam menawarkan perkhidmatan perniagaan untuk meningkatkan sistem telekomunikasi hubungan di negara mereka. Sasaran kami ialah negara-negara yang masih belum mengorak langkah dalam pembangunan industri ICT.

Apakah hala tuju perjalanan syarikat ini dalam bidang ICT?

Pertama sekali sebagai sebuah syarikat Bumiputera, saya akan memastikan aspirasi syarikat dicapai. Melalui matlamat tersebut, kami akan lebih komited dalam menyediakan produk teknologi maklumat yang berkualiti di samping menyediakan keperluan terkini mengikut kehendak pasaran.

Buat masa ini, syarikat kami menjalinkan kerjasama dengan TM Berhad dalam memasarkan produk yang dikenali sebagai Suara melalui Protokol Internet (VoIP) dalam memenuhi kehendak pasaran terutama di agensi swasta dan kerajaan. Melalui kerjasama tersebut, kami berpeluang membangunkan perisian terkini yang lebih baik kepada pelanggan bagi memastikan mutu dan kualiti dipertingkatkan.

Syarikat kami juga membangunkan pelbagai sistem integrasi yang menyeluruh di mana setiap intipati teknologi dapat disampaikan secara terus dan berkesan kepada pengguna. Bukan itu sahaja, kami juga membangun dan menyelidik produk-produk penjimatan global yang terkini bagi manfaat masyarakat terutamanya untuk syarikat dan kerajaan yang ingin membangunkan sistem E-Komunikasi talian tetap di agensi masing-masing.

Selain produk berasas ICT, apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat saudara?

Kami juga menawarkan produk yang berintensifkan mesra pengguna di mana melalui pengoperasian syarikat, kami dapat mengurangkan kos operasi syarikat. Ini merupakan strategi perniagaan dalam memastikan pelanggan kami terus memberi sepenuh kepercayaan kepada kami.

Pada masa ini, hampir 900 syarikat di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak menjalin usahasama dengan syarikat kami dalam memastikan perjalanan operasi mereka berjalan dengan lancar. Dengan adanya produk VoIP, kami yakin berupaya mengeluarkan produk kami sendiri serta menambah baik segala bentuk perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Kami juga menawarkan perkhidmatan membaiki komputer, perisian Pengurusan Projek, pembangunan perisian, Perkhidmatan Elektronik-Dagang, IT konsultasi, Program Latihan dan Persijilan Teknologi Maklumat, Perancangan Rangkaian dan Reka Bentuk, Rangkaian Pelantikan dan Konfigurasi, Teknologi Keselamatan dan Perkhidmatan Pemulihan Bencana.

Bagi syarikat korporat dan agensi yang terlibat boleh menghubungi pihak kami dalam mempertingkatkan lagi jabatan IT syarikat mereka. Di samping itu syarikat kami juga turut menawarkan produk yang dikenali sebagai H2Osaver.

Ia adalah produk yang direka untuk memberi penjimatan penggunaan air di rumah. Ia direkabentuk untuk menyediakan penyelesaian yang komprehensif dalam kawalan aliran air di rumah-rumah secara komersial.

H2Osaver adalah produk yang dihasilkan dengan kualiti tertinggi daripada bahan-bahan yang mengikut piawaian pembuatan. H2Osaver dimajukan dengan menggunakan kejuruteraan serta teknik-teknik daripada satu aliran air kukuh dengan kadar bayaran yang rendah yang dikenakan pada setiap isi rumah.

H20Saver merupakan produk yang mendapat lesen kebenaran untuk dikeluarkan oleh syarikat kami dengan jalinan kerjasama dari sebuah syarikat ternama di Amerika Syarikat.

Apakah kejayaan yang diperoleh oleh syarikat saudara setakat ini?

Antara kejayaan paling besar ialah pemberian mandat sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka sebagai perintis selama tiga tahun kepada sistem talian maklumat berpusat yang pertama di Malaysia. Ia menggunakan satu talian nombor sahaja untuk berurusan.

Talian itu memudahkan semua pihak pengurusan kerajaan negeri dan rakyat untuk berurusan tanpa menggunakan banyak nombor talian. Buat masa ini kami dalam proses pemasangan dan penyelenggaraan di samping mempromosikan lain-lain produk kami.

Bagaimana prestasi syarikat terutama dari segi keuntungan tahun ini?

Syukur kepada Allah kerana tahun ini syarikat kami masih memperoleh keuntungan menghampiri setengah juta. Ia adalah hasil usaha dan kesungguhan serta perancangan terbaik yang diamalkan oleh syarikat. Walaupun menghadapi banyak persaingan daripada syarikat-syarikat lain, namun kami masih mampu mengekalkan prestasi kecemerlangan di tahap yang membanggakan ke hari ini.

Apakah rahsia kejayaan perniagaan saudara sehingga ke tahap sekarang?

Kejayaan saya pada hari ini adalah hasil keberanian mengambil risiko dalam apa jua bidang yang diceburi.

Kita harus pastikan untuk mencuba sesuatu perkara itu dengan yakin serta azam yang tinggi untuk berjaya. Kita perlu mencontohi bangsa lain yang berjaya dalam perniagaan. Kita juga harus bermuhasabah apa kelebihan mereka sedangkan kita juga mempunyai akal dan anggota badan yang sama seperti mereka.

Tuhan menciptakan manusia sama sahaja tanpa perbezaan. Apa yang membezakan manusia dengan manusia yang lain ialah bagaimana kita berusaha untuk meningkatkan kemajuan diri dan agama.

Untuk menjadi orang yang berjaya kita perlu berfikir setapak di depan dan menyusun strategi sebelum orang lain berfikir perkara yang sama. Dengan itu kita lebih bijak dan akan menjadi pemenang untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan, terutamanya dalam perniagaan, insya-Allah.

Apakah nasihat anda kepada orang Melayu yang berminat menceburkan diri dalam perniagaan?

Sekiranya anda berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan, perkara pokok yang perlu anda ambil kira ialah bagaimana untuk membangunkan syarikat. Anda mesti bekerja kuat untuk mengecapi kejayaan, kerana dengan kekuatan dan azam itu sahaja mampu menjadi penentu kepada kejayaan anda.

Sifat putus asa tidak perlu wujud dalam diri anda dan kuatkan semangat untuk mencuba, berani untuk mengambil risiko sama ada perniagaan kita akan berjaya atau sebaliknya. Kekuatan mental dan fizikal serta jalinan kerjasama yang terjalin erat penentu kepada kejayaan anda.

Di Malaysia, banyak peluang perniagaan yang masih belum diterokai. Jangan lepaskan peluang tersebut. Jangan hanya menumpukan perniagaan yang lebih memfokuskan kepada jualan makanan dan pakaian semata-mata. Buka minda untuk memperluaskan empayar perniagaan serta ceburi bidang baru.

Berdasarkan perkembangan semasa apakah langkah-langkah terbaik bagi mengekalkan prestasi syarikat?

Pertamanya, kami akan memastikan segala perancangan dan pembangunan seperti penyelidikan, terutamanya dalam bidang pemasaran dibuat.

Bahagian ini perlu digerakkan dengan agresif bagi mempertingkatkan sasaran pelanggan serta permintaan terhadap kualiti barang dan perkhidmatan dalam pasaran global. Sebenarnya dengan berniaga kita bukan sahaja mengejar ganjaran keuntungannya semata-mata tetapi bagaimana kita melayan dan menjaga hati para pelanggan.

Bagaimana saudara menggunakan pendekatan pengurusan perniagaan yang berlandaskan Islam?

Dalam apa jua perniagaan yang kita ceburi, kita mesti jujur dan telus serta amanah dalam menguruskan syarikat. Kita perlu menghormati orang lain dalam kehidupan kita. Dengan keberkatan tersebut, perjalanan syarikat akan lancar dan disenangi oleh semua pihak.

Kita harus faham apakah konsep perniagaan dalam Islam. Kita harus meneroka dan mengkaji al-Quran kerana di dalamnya terkandung banyak saranan dan pengajaran untuk manusia berjaya dalam banyak hal termasuk perniagaan.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat kami boleh menghubungi Illuminax Sdn. Bhd. di alamat 13 A, Jalan Pandan 8/6, Pandan Jaya 55100 Kuala Lumpur dan di talian 012-3331181,03-92826145 atau melayari laman web kami di www.illumi nax.com.my

sumber : Utusan Malaysia 10/11/2006

WEB TV : Polis cari dalang sebar SMS




Orang ramai dinasihat usah percaya sekumpulan umat Islam masuk Kristian


KUALA LUMPUR: Polis akan menjalankan siasatan rapi dan bertindak tegas terhadap dalang di sebalik penyebaran khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kononnya sekumpulan umat Islam akan masuk Kristian di Ipoh, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyifatkan kes penyebaran khabar angin seperti itu serius kerana ia boleh menjejas ketenteraman awam dan menggugat perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

Berikutan itu, beliau berkata, satu pasukan khas diketuai Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Aziz Bulat dibantu pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ditubuhkan bagi menyiasatnya.

“Kita memerlukan tempoh seminggu mulai hari ini (semalam) untuk menyiasat kes ini kerana kita perlu tahun jenis telefon bimbit yang digunakan untuk menghantar SMS itu.

"Mereka yang didapati terbabit menyebarkan khabar angin boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 dan boleh dituduh di mahkamah jika sabit kesalahan.

"Hasutan seperti ini boleh menjejas ketenteraman awam dan menggugat keamanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Melaka, semalam.

Musa menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin seperti itu dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan memecahbelahkan perpaduan kaum.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada orang kenamaan (VIP) atau orang terkenal terbabit dengan penyebaran SMS itu. Dalam mesej itu, nama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria turut dikaitkan sebagai pihak yang mengesahkan akan berlaku upacara pembaptisan itu.



Di IPOH, polis sudah pun memanggil seorang daripada beberapa individu yang dikenal pasti terbabit bagi memberikan keterangan dan akan memanggil beberapa lagi termasuk Mufti Perak untuk membantu siasat.

Adul Aziz berkata, ia adalah sebahagian daripada prosedur siasatan yang perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca SMS disebarkan sejak Khamis lalu.

"Semua individu yang ada kaitan dengan SMS itu akan dipanggil untuk siasatan," katanya.

Katanya, polis sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi membantu mendapatkan maklumat siapa penghantar pertama SMS berkenaan.

Di KUALA PERLIS, Penasihat Agama Kerajaan Perlis yang juga bekas Mufti negeri, Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin diarah menyiasat dakwaan Azhar sudah murtad dan cuba menghasut orang Islam menukar agama Kristian.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Mat Jahaya akan mengadakan pertemuan dengan Azhar dan keluarganya untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu.

"Beliau dan keluarganya berasal dari Perlis dan ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk mencari kebenaran. Kita tidak mahu fitnah ini terus berlarutan sehingga menjejaskan umat Islam," katanya.

Sumber Berita Harian dan Buletin utama TV3

WEB TV : Republikan hilang kuasa di Kongres kerana Bush



WASHINGTON 8 Nov. – Rakyat Amerika Syarikat (AS) yang marah dengan Presiden George W. Bush berhubung kemelut berdarah di Iraq mengundi untuk menamatkan penguasaan partinya, Republikan, di Kongres semalam.

Parti Demokrat sebagaimana yang diramalkan berjaya merampas kuasa di Dewan Perwakilan dengan mudah untuk kali pertama sejak 1994 dan hampir menguasai semula Senat AS.

Kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat mempunyai pengaruh kuat dalam proses penggubalan undang-undang dan juga dalam menentukan hala tuju dasar AS.

Malah, buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad, Demokrat memenangi banyak jawatan gabenor apabila menguasai kedudukan itu di 20 daripada 36 negeri yang dipertandingkan.

Bush hanya mampu menjadi pemerhati dari White House ketika monopoli kuasa parti Republikan dihancurkan di seluruh negara.

Beliau dijadualkan mengadakan sidang media di White House hari ini (awal pagi esok, waktu Malaysia).

Keputusan pilihan raya Kongres semalam bukan sahaja dianggap hukuman terhadap Bush berhubung kemelut di Iraq dan Afghanistan tetapi secara dramatik turut mencorakkan semula politik AS.

Keputusan pilihan raya pertengahan penggal itu juga menunjukkan Demokrat mempunyai peluang cerah untuk kembali menawan White House yang jatuh ke tangan Republikan apabila bekas Presiden Bill Clinton berundur enam tahun lalu.

Demokrat menambah kira-kira 30 kerusi di Dewan Perwakilan semalam untuk mencapai kemenangan besar dengan memanfaatkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap perang di Iraq, skandal seks dan rasuah Republikan serta kepimpinan Bush sendiri.

Setakat pukul 5 petang waktu Malaysia, Demokrat telah pun memperoleh sebanyak 228 kerusi Dewan Perwakilan dengan mendahului di empat kawasan bagi membolehkannya mendapat keseluruhan 232 kerusi manakala Republikan menang di 193 kerusi dan dijangka memperoleh tambahan 10 kerusi.

Demokrat juga mengaut empat daripada enam kerusi yang diperlukan untuk kembali menguasai Senat dan melengkapkan kemenangan mereka bagi membalas dendam terhadap kekecewaan yang dialami selama ini di tangan jentera pilihan raya Republikan.

Calon Demokrat mendahului lawan di Montana dalam perebutan untuk kerusi kelima.

Demokrat juga mendakwa memenangi kerusi di Virginia walaupun pengiraan semula undi mungkin dijalankan menyebabkan keputusan tentang parti mana yang akan menerajui Senat tergendala selama beberapa minggu.

Sehingga lewat petang ini (waktu Malaysia) kedudukan kerusi di Senat tergantung dengan Demokrat dan Republikan masing-masing mempunyai 49 kerusi.

Para pemimpin Demokrat segera menegaskan bahawa mereka mahu menuntut haluan baru berhubung pendudukan tentera AS di Iraq dan berikrar untuk membongkar skandal-skandal Republikan selepas kejayaan menghancurkan harapan Bush untuk menyempurnakan agendanya dalam dua tahun terakhir beliau di White House.

Nancy Pelosi, tokoh yang dibenci oleh Republikan dan dijangka menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Perwakilan, menyatakan pilihan raya itu membuktikan rakyat Amerika sudah bosan dengan dasar-dasar Bush mengenai Iraq, di mana lebih 2,800 askar AS sudah terkorban.

Demokrat menambah 23 kerusi di Dewan Perwakilan, lebih tiga kerusi daripada bilangan yang diperlukan untuk merampas kuasa.

Mereka juga masih bersaing untuk merampas lebih 12 kerusi Republikan di dewan tersebut.

“Kami percaya Demokrat akan mengambil alih kuasa di Dewan dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan para pemimpin Demokrat mengenai isu-isu utama dalam agenda, termasuk memenangi perang di Iraq dan kempen memerangi keganasan selain memastikan pertumbuhan ekonomi,” kata jurucakap White House, Tony Snow.

Demokrat merampas kerusi Republikan di Arizona, Connecticut, Florida, Indiana, Iowa, Kansas, Kentucky, Minnesota, Missouri, New Hampshire, New York, North Carolina, Ohio, Pennsylvania, Rhode Island dan Texas, menurut ramalan stesen-stesen televisyen.

Pada malam penuh gemilang bagi Demokrat, parti itu juga memenangi enam kerusi gabenor untuk menguasai dewan-dewan perundangan negeri buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

– AFP
Sumber Utusan Malaysia dan Buletin Utama TV3

Khamis, November 09, 2006

BINCANG SAINS : Masa depan dunia mungkin di tangan Robot

Semalam saya membelek kembali koleksi CD video simpanan saya, akhirnya saya tertarik untuk melihat semula sebuah filem fiksyen Sains bertajuk I,Robot. Sebuah filem yang menarik perhatian saya yang suka kepada cerita yang berorientasikan sains dan robotik.

Bila dihayati jalan ceritanya, saya cuba berimaginasi dengan suasana masa depan dunia kita di masa akan datang. Masa depan kita, sekiranya terlampau dikawal oleh teknologi, sebagaimana filem I, Robot cuba gambarkan, akan membawa kemusnahan kepada kemanusiaan. Filem ilham Isaac Asimov berlatarbelakangkan tahun 2035 di mana manusia telah berjaya mencipta robot yang membuat kerja-kerja manusia. Robot-robot berteknologi tinggi ini membuat kerja-kerja seperti membawa anjing bersiar-siar, mengutip sampah dan penghantar makanan segera kelihatan amat patuh, suka menolong dan merendah diri.

I,Robot satu penelitian

Tetapi hero dalam cerita ini, Detektif Homisid Del Spooner, merasa sangsi kepada robot-robot dan kurang menyenangi kehadiran robot-robot itu. Apatah lagi robot model terbaru yang dicipta untuk membantu mengendalikan segala urusan rumah tangga. Dia merasakan robot terbaru ini mempunyai kepintaran untuk ingkar dan membantah. Seolah-olahnya golongan
hamba abdi pada zaman kerajaan Rom bila mana hamba abdi merasakan perlu memerdekakan diri daripada perintah dan dibelenggu.

Namun rakan-rakannya menyangkal pendapat Del Spooner. Katanya, robot adalah mesin yang dicipta untuk akur kepada perintah manusia dan telah diprogramkanuntuk menurut arahan - arahan manusia melakukan tugas-tugas tanpa bantahan.



Undang-undang Robotik

`Robot bukanlah suatu Benda bernyawa, ia tidak mampu beremosi, ia hanyalah perisian komputer canggih, mengawal badan antropomorfik mereka'. Robot dicipta mempunyai jaminan. Ia telah diprogramkan supaya mentaati tiga undang-undang robotik iaitu:

  1. Akur kepada setiap perintah manusia,
  2. Jangan mencederakan manusia.
  3. Dan lindungi diri mereka tetapi jangan sampai menjejaskan manusia sebagai tuannya.
3 undang-undang diatas bukanlah yang direka-reka untuk menarik penonton menghayati jalan cerita ini, malah sewaktu saya belajar di Politeknik dalam jurusan Diploma Kejuruteraan elektronik pun, apabila belajar dalam tajuk Robotik diajar tentang 3 perkara ini.

Namun perisian komputer tidaklah sempuma. plot cerita ini menggambarkan Ahli-ahli sains yang telah menjalankan penyelidikan tentang robotik memberi amaran terdapatnya `roh di dalam mesin' iaitu kebarangkalian interaksi kod-kod dalam akal sintetik yang memungkinkan wujudnya kebolehan mengingkari program asal. Ini akan mewujudkan kehidupan yang mempunyai kepintaran sintetik,berkemampuan untuk memiliki emosi dan mempunyai jiwa, sehampir kemampuan manusia.

Filem I, Robot bukan sekadar menonjolkan pertembungan manusia dengan ciptaannya, malah ia lebih kepada pertembungan kesinambungan kewujudan manusia sebagai pemerintah di muka bumi ini. Jika robot sudah berani membantah arahan, tentulah mereka merasakan manusia sebagai penghalang kepada kewujudan mereka. Robot akan memberontak dan berkemungkinan cuba menguasai kemanusiaan seperti mana filem The Terminator.

Mesin-mesin pintar buatan manusia ini mula mempertingkatkankeupayaan sendiri dan mencipta robot-robot lain pula tanpa perlu bergantung kepada keupayaan manusia. Mereka
mampu berfikir sendiri dan menganggap manusia adalah musuh yang perlu dihapuskan.

Kita, Teknologi dan Masa depan

Tahun 2035 bukan terlalu lama untuk dinantikan. Hanya 31 tahun sahaja lagi. Teknologi berkembang begitu cepat terutama pada penghujung abad ke 20 dan awal abad ke— 21 ini. Mungkin kita benar- benar telah berjaya mereka cipta robot sebagaimana filem I, Robot yang dapat berinteraksi dengan manusia dan dapat membantu meringankan beban tugas manusia.

Namun ada juga sesetengah pendapat yang menyangkal keupayaan manusia mencipta kehidupan yang mampu menyaingi minda manusia. Keupayaan minda manusia bukannya umpama perisian komputer yang telah diprogramkan terlebih dahulu. Ia adalah melibatkan jiwa dan kerohanian. Mungkin teknologi mampu meniru fungsi otak manusia tetapi bolehkah roh manusia ditiru?

Robot tercanggih masa kini telah dicipta oleh syarikat Honda Corporation yang diberi nama Asimo (juga sempena nama Isaac Asimov) yang mampu meniru pergerakan manusia. Pergerakannya lebih hampir kepada pergerakan manusia dari model-model terdahulu. Mungkin teknologi akan mempertingkatkan keupayaan Asimo atau hanya kemungkinan manusia berjaya mencipta mesin yang mampu melaksanakan tugas dan berfikir untuk melakukan sesuatu tindakan sebagaimana tatacara perisian komputer yang telah diten-
tukan oleh manusia. Adakah mesin-mesin ini akan membantah dan ingkar kepada
arahan manusia? Mungkin jika terjadinya sesuatu keajaiban terhadap mesin-mesin
ini.

Kepintaran buatan @ Artificial Intelligence

Ada satu lagi pendapat tentang mesin-mesin sintetik yang dicipta pada masa akan datang dan berupaya mempunyai perasaan. Mesin-mesin ini yang berkeupayaan untuk berfikir secara logik, mampu menulis karya-karya simfoni dan mampu melukis lukisan-lukisan yang cantik.
Namun keupayaan untuk memiliki jiwa masih lagi menjadi tanda tanya. Berkesinambungan pula setelah memiliki jiwa dan berkeinginan menganut fahaman-fahaman keagamaan? Apakah rasional di sebalik minda sintetik mempunyai kepercayaan beragama?

Perkembangan teknologi terkini amat memberangsangkan. Bayangkan novel I,Robot oleh Isaac Asimov telah ditulis pada tahun 1950-an. Dalam masa setengah abad sahaja, teknologi telah berkembang pesat. Apa yang pada tempoh 50 tahun lalu hanyalah ramalan-ramalan sains dan fiksyen-fiksyen sains telah pun menjadi realiti. Pada waktu itu, keupayaan komputer amat terbatas, sekarang perisian komputer mempunyai keupayaan berlipat kali ganda. Ambil contoh kemajuan penerokaan sains angkasa. Pembinaan satelit komunikasi, pembinaan stesen angkasa lepas, pembinaan kapal angkasa yang Boleh diguna berulang kali, pendaratan manusia di bulan, pendaratan kenderaan angkasa di planet Marikh, pengembaraan satelit-satelit angkasa yang semakin melepasi sistem suria kita dan keupayaan teleskop angkasa mengambil gambar-gambar alam kosmik yang teramat jauh. Semua itu hanyalah cereka-cereka sains oleh kebanyakan novel-novel fiksyen sains setengah abad lalu dan kini telah menjadi realiti.

Sekiranya manusia berjaya mencipta mesin yang mampu berfikir sendiri, bagaimana kita sebagai manusia berinteraksi dengan mereka. Bolehkah manusia mengawal mesin-mesin ini untuk mengelak daripada mengingkari perintah manusia? Bolehkah manusia mematikan suis pada mesin pintar ini sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini? Mungkin tidak kerana keupayaan berfikir pada mesin berkemungkinan akan cuba menolak daripada dimatikan.

Persoalan agama pula, saya tertarik dengan isi ceramah Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia -WADAH merangkap Presiden Kolej Darul Hikmah) tentang penjelmaan teknologi yang melampau sehingga menjangkaui nilai kemanusiaan akan mengundang pelbagai kerumitan.Contohnya bagaimana jika robot yang menggantikan manusia dalam soal menjual beli, bagaimana untuk kita bermuamalat jual beli dari segi melafazkan akad semasa bermuamalat seperti "saya beli" dan "saya jual". Adakah lafaz itu disebut kepada robot tersebut??? Persoalan ini tidak bermakna Dr Siddiq menolak teknologi, namun point beliau ialah jika penjelmaan teknologi yang melampau sehingga menjangkaui nilai kemanusiaan!!

Satu langkah lagi ialah cuba untuk sama-sama `hidup' seiringan. Namun dalam jangka masa panjang, mungkin ia akan membawa kemudaratan kepada manusia. Saya terbaca sejarah tentang 30, 000 tahun lalu, terdapat manusia terawal dari jenis Neanderthal yang mempunyai intelek dan kemampuan berfikir lebih rendah daripada manusia jenis Homo Sapiens. Neanderthal telah tidak mampu untuk menyaingi Homo Sapiens yang lebih bijak menggunakan kemampuan minda untuk meneruskan kehidupan. Kaum Neanderthal pupus setelah gagal menyaingi kemajuan minda manusia Homo Sapiens.

Mesin pintar sintetik pula mungkin akan mengatasi keupayaan manusia dan berjaya mengatasi kemajuan minda.Jadinya dalam sesebuah tamadun yang wujudnya dua spesies yang masing-masing mempunyai kemampuan berfikir untuk menyaingi antara satu sama lain adalah konsep kehidupan yang mencacatkan. Namun konsep bagaimana kita melayan atau akan dilayan oleh minda- minda sintetik ini hanyalah idea dalam filem-filem Hollywood. Teknologi perfileman membolehkan segala fantasi manusia diterjemahkan ke dalam filem seolah-olahnya ia benar-benar wujud. Ia hanyalah spekulasi kepada masa hadapan kita sahaja.

Tips Shape Yourself

Proses perubahan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi perlukan keazaman yang kuat. Di sini saya ada menyertakan beberapa tip dan galakan untuk berubah daripada Quran dan Sunnah Rasulullah.

1. Sentiasa berusaha memilih perkara yang baik walaupun bertentangan dengan kebiasaan hidup kita.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu [Asy Syams 91: 9]

Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), [a' A'la 87:87]

2. Berusaha mengikhlaskan diri kita kepada Allah

Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar. [an nisaa' 4:146]

Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya [An-Nisaa' 4:125]

3. Lakukan secara berperingkat. Tidak perlu berubah secara mendadak

Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. [Alam Nasyrah 94:7]

4. Selalulah berdoa kepada Allah supaya ditetapkan dalam usaha ini

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [al-Baqarah 2:186]

5. Yakinlah akan pertolongan Allah dalam proses perubahan

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.[al-Ankabut 29:69]

6. Jika kita terkandas (mengulangi dosa tersebut) semasa dalam usaha perubahan, cepat-cepat bertaubatlah dan kemudian menyambung usaha tersebut

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maaidah 5:39)

Kesimpulan

Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha untuk merubah diri kita. Janganlah kita takut untuk berubah. Janganlah kita menutup hati kita apabila mendapat teguran atau nasihat daripada sesiapa pun. Dan tetap yakinlah kepada Rahmat Allah. Sebagai penutup saya sajikan sebuah hadith yang menunjukkan bertapa kasih dan sayangnya Allah kepada kita..

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda tentang apa yang baginda terima dari Allah s.w.t katanya: Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu. Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Hadith ini bukanlah menunjukkan kita boleh melakukan apa sahaja dosa dan kemudian meminta ampun, tetapi menunjukkan bertapa sayangnya Allah kepada kita, Dia memberikan seberapa banyak perluang yang kita perlukan untuk memperbaiki diri kita. Oleh itu, jika kita terkandas ketika dalam proses perubahan ini, yakinlah bahawa Allah sentiasa mengampunkan kita selagi mana kita ikhlas dalam ingin berubah.(al-Isra' 17:25).Akhir kata, penulisan ini adalah hasil kajian dan pemahaman penulis, dan sebagai manusia, penulis tetap melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka perbaiki lah, dan tegurlah kesilapan itu. Jika pemahamanku silap, aku menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku

Wallahu'alam

Sumber: blog kompilasi kumpulan al-israĆ¢€™ http://al-isra.blogdrive.com/

Rabu, November 08, 2006

MOTIVASI : KENALI SRIKANDI MASA DEPAN (TAHUN 2020)

NAMA : SITI EISYA ABDULLAH
UMUR : 19 TAHUN
ASAL : KOTA BHARU
STATUS: PELAJAR PENGURUSAN PERNIAGAAN
CITA-CITA : USAHAWAN ANTARABANGSA

Eisya ialah seorang gadis berwawasan. Gadis ayu yang menjadi idola di akademi pengajiannya. Mempunyai perawakan yang menarik. Diserikan lagi pakaian jubah dan tudung labuh serta pakaian akhlaknya yang mulia. Akalnya tajam dan mudah memahami. Beliau juga mempunyai kejenihan wajah yang menenangkan setiap yang memandangnya.

Pendek kata , dia adalah seorang gadis yang telah di didik dengan sifat malu untuk melakukan perkara yang tidak baik, besederhana dalam kehidupan, menghargai diri sendiri, ikhlas dalam perbuatan dan bijak bergaul. Dia ibarat kuntuman mawar yang mekar dan mengharumkan suasana, namun tetap terjaga dan terpelihara. Dialah yang menjadi corak reformasi rakan-rakan sebayanya samada di sudut pemakaian .akhlak, akademik dan lain-lain.

Di rumah dia menjadi kebanggaan keluarga. Dialah anak yang taat , seorang kakak yang mampu menjadi ikutan(qudwah) kepada adik-adiknya serta kebanggan abang dan kakaknya. Dia sedar bahawa dia perlu menjaga nama baik dan maruah keluarga bila berada di luar rumah kerana dia tahu "Seribu wanita melangkah,pasti lahir seribu fitnah".

Eisya juga adalah gadis yang disayangi masyarakat sekelilingnya. Gerak geri, pertuturan dan pergaulan menjadi model dan ikutan kepada masyarakat sekeliling. Dia pandai menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana masyarakat . Apatah lagi dia adalah gadis yang berpendidikan dan terpelajar, dia selalu membimbing masyarakat melalui pelbagai aktiviti seperti usrah, persatuan dan sebagainya.

Eisya sedar, bahawa tanggungjawab pada hari depan terlalu besar. Kalaupun tidak menjadi pemimpin masyarakat, boleh jadi dia mungkin seorang ibu kepada seorang Presiden Negara, atau isteri seorang perdana menteri pada masa akan datang jika ditakdirkan itu tanggungjawabnya. Jadi dia mempunyai wawasan yang jelas untuk masa depannya, jadi dia telah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan.

Ada banyak lagi yang nak diperkatakan tentang Eisya, dialah contoh gadis cemerlang yang menjadi idaman lelaki beriman serta berpotensi besar untuk pengubahan minda dan konsep masyarakat terhadap sesuatu perkara. Personalitinya umpama memegang sebatang pena hikmat yang cukup berkuasa. Hujung pena itu bisa mencoret apa sahaja impian untuk direalitikan.

Yang pasti, dialah model remaja masa depan yang bakal menggoncang dunia serta menjadi tonggak kebangkitan semula Islam di akhir zaman.

MOTIVASI : INILAH PEMUDA MASA DEPAN (TAHUN 2020)


INILAH PEMUDA MASA DEPAN (TAHUN 2020)
Luangkan masa untuk anda mengenalinya

NAMA : MUHAMAD FATIH ABDULLAH
UMUR : 20 TAHUN
ASAL : BACHOK
STATUS : PELAJAR KEJURUTERAAN ELEKTRIK
MINAT : PELBAGAI
CITA-CITA : PEMIMPIN DUNIA


Muhammad adalah seorang yang gagah. Nak kata pintar, tak sangat sebab dia bukan best student, tapi resultnya cemerlang. Keluarganya bukanlah golongan yang kaya. Sebenarnya dia adalah seorang yang peramah dan penyayang. Dia kasihkan kanak-kanak dan hormat pada orang tua, lebih-lebih lagi ibu-bapanya. Orangnya periang, kelakar, suka menyanyi dan bermain muzik yang dibenarkan syariat dan tidak melalaikan.

Untuk pengetahuan anda, dia fasih berbahasa arab dan bahasa Inggeris. Al-Quran lancar dimulut bahkan dihafalnya sejak kecil. Hadis-Hadis Rasululah juga di hafal dan diamalkan sebagai carahidupnya. Dia sentiasa berjemaah di masjid Di masjid, dialah jadi imam, bahkan khatib untuk sembahyang Jumaat. Kadangkala dia boleh mengajar kitab-kitab agama kerana dia mendalaminya. Ceramah agama dan motivasi pun pandai!!

Walaupun nampak selamba, dia sebenarnya banyak membaca buku-buku ulama' silam. Dia tidak suka ikut-ikut dalam beragama. Dia suka kaji apa yang ada dalam agama dan cara hidup Islam. Buku-buku ulama' terdahulu seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Imam Al-Ghazali, Imam Syafie, Yusuf Qardawi adalah menjadi bahan rujukan asasnya.

Untuk pengetahuan juga, di alam siber, dia bagaikan pemimpin terkenal. Siapa tak kenal dengan laman web canggih ciptaannya yang diluncur untuk seluruh penduduk dunia. Dia mempunyai pendirian yang tegas dan fikrah tersendiri. Bukan fitrah baru, tapi fikrah yang diadaptasikan daripada ulama salaf di zaman kegemilangan pertama Islam. Dia bercita-cita mendaulatkan Islam di dunia ini.

Dia banyak berkawan, lelaki dan perempuan. Aktiviti-aktivitilah jugak tapi taklah sampai timbul fitnah kepada hati dan pandangan mata. Memang ramai gadis terpikat dengannya…..hensem dan hebat…..tapi sayang, dia profesional beb!! Jiwang siut tak mainlah kecuali bila dah tiba masanya.

Dia sentiasa bersama ahli kumpulan usrah yang sehebatnya . Dia baru sahaja menubuhkan sebuah syarikat yang bergiat dalam bidang Kejuruteraan Komputer. Orang business minded,biasalah!! Ada banyak lagi nak diperkatakan tentang Muhammad. Yang pasti, dialah model remaja masa depan yang bakal menggoncang dunia serta menjadi tonggak kebangkitan semula Islam di akhir zaman.

Muhasabah Kelahiran Diri

Pada 27 Jun yang lepas, genaplah umur saya 23 tahun. Ada orang bertanya, apakah azam sempena hari kelahiran saya?. Cukup sulit mahu menjawab. Saya katakan saya tidak ada azam... padahal azam di dalam hati ini berjuta-juta.

Tapi dalam usia semuda ini tentu banyak perkara yang diidamkan dan diangan-angankan. Angan-angan materialistik, kebendaan(madiyyah), harta, pangkat, dan perempuan, adalah fitrah keinginan manusia secara semulajadi. Bahkan dikala usia saya yang sebegini, dengan gaya hidup bermain dan bekerja dengan teknologi , keinginan untuk menambahkan aksesori peralatan multimedia kadang-kadang menjadi keinginan yang tinggi serta menjadi prioriti dalam konteks material.

Sultan Muhammad Al-Fatih dalam usia semuda saya telah berjaya berjaya menawan kota Costantinople ( 857H/1453M), meruntuhkan kerajaan pemerintahan yang dibina Maharaja Costantine. Ideanya iaitu menukarkan daratan menjadi lautan sangat tidak boleh diterima akal, tetapi itulah hakikatnya dalam lipatan sejarah.

Bagaimana tajamnya akal kurniaan Tuhan yang diberikan kepada Sultan Muhammad sehingga berjaya menembusi Pintu Edirne dan seterusnya memasakkan bendera kerajaan Othmaniyah di Costantinople. Kisah ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w lagi melalui sabda Baginda:

"Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Seperti yang diungkapkan oleh Napoleon Bonaparte sebagai, "...kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!".

Seorang pemuda yang memerintah sebuah kerajaan Islam berjaya menakluki sebuah kota terulung dan kisahnya dikhabarkan oleh Baginda s.a.w. Alangkah hebatnya. (Saya sarankan agar kisah ini dibaca sendiri ).
p/s : saya dalam proses membuat kajian ilmiah tentang profil Sultan Muhammad Al-Fatih. Banyak input-input dari pembacaan-pembacaan, kuliah ilmu, perbincangan usrah dan daurah menyebabkan maklumat ini perlu disusun agar ia dapat dimanfaatkan....

Baitul Mawaddah : Gadis Idaman Hati 1

Dalam situasi kegawatan sosial masyarakat kita pada hari ini, Seorang remaja wanita amat memerlukan benteng pertahanan dalaman yang kuat. Untuk memasuki arus perdana pula, seorang gadis memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kukuh serta daya pemikiran yang tajam dan kreatif.

Pertahanan dalaman yang dimaksudkan ialah IMAN. IMAN menjadikan seseorang itu berakhlak. Gadis yang yakin kepada azab Allah menanti bagi yang mendedah aurat pasti menjaga aurat dan maruahnya. Gadis yang beriman kepada balasan Syurga Allah menanti bagi yang taat pasti memperbaiki adabnya, memperelok pekertinya dan menjaga segala batas-batas yang Allah tetapkan.

Memang, menjaga akhlak dan adab sudah memadai bagi seseorang gadis. Namun, begitu seorang gadis yang berakhlak dan sentiasa mendepani dalam arus perdana masyarakat dipandang jauh lebih tinggi daripada mereka yang ketinggalan dan tidak mampu menongkah arus. Untuk memasuki arus perdana, seorang gadis mesti mempunyai kesedaran akan peranannya dalam melakukan reformasi terhadap masyarakat disamping terbekal dengan ilmu dan pengetahuan yang mencakupi semua aspek serta mempunyai pemikiran yang tajam dan kreatif bahkan memahami kehendak dan keperluan masyarakat.

Gadis berakhlak, agresif, kreatif, serta mempunyai kesedaran yang tinggi adalah gadis yang diidam-idamkan. Dialah gadis yang menjadi idaman masyarakat, agama, bangsa dan negara.