Khamis, November 09, 2006

BINCANG SAINS : Masa depan dunia mungkin di tangan Robot

Semalam saya membelek kembali koleksi CD video simpanan saya, akhirnya saya tertarik untuk melihat semula sebuah filem fiksyen Sains bertajuk I,Robot. Sebuah filem yang menarik perhatian saya yang suka kepada cerita yang berorientasikan sains dan robotik.

Bila dihayati jalan ceritanya, saya cuba berimaginasi dengan suasana masa depan dunia kita di masa akan datang. Masa depan kita, sekiranya terlampau dikawal oleh teknologi, sebagaimana filem I, Robot cuba gambarkan, akan membawa kemusnahan kepada kemanusiaan. Filem ilham Isaac Asimov berlatarbelakangkan tahun 2035 di mana manusia telah berjaya mencipta robot yang membuat kerja-kerja manusia. Robot-robot berteknologi tinggi ini membuat kerja-kerja seperti membawa anjing bersiar-siar, mengutip sampah dan penghantar makanan segera kelihatan amat patuh, suka menolong dan merendah diri.

I,Robot satu penelitian

Tetapi hero dalam cerita ini, Detektif Homisid Del Spooner, merasa sangsi kepada robot-robot dan kurang menyenangi kehadiran robot-robot itu. Apatah lagi robot model terbaru yang dicipta untuk membantu mengendalikan segala urusan rumah tangga. Dia merasakan robot terbaru ini mempunyai kepintaran untuk ingkar dan membantah. Seolah-olahnya golongan
hamba abdi pada zaman kerajaan Rom bila mana hamba abdi merasakan perlu memerdekakan diri daripada perintah dan dibelenggu.

Namun rakan-rakannya menyangkal pendapat Del Spooner. Katanya, robot adalah mesin yang dicipta untuk akur kepada perintah manusia dan telah diprogramkanuntuk menurut arahan - arahan manusia melakukan tugas-tugas tanpa bantahan.



Undang-undang Robotik

`Robot bukanlah suatu Benda bernyawa, ia tidak mampu beremosi, ia hanyalah perisian komputer canggih, mengawal badan antropomorfik mereka'. Robot dicipta mempunyai jaminan. Ia telah diprogramkan supaya mentaati tiga undang-undang robotik iaitu:

  1. Akur kepada setiap perintah manusia,
  2. Jangan mencederakan manusia.
  3. Dan lindungi diri mereka tetapi jangan sampai menjejaskan manusia sebagai tuannya.
3 undang-undang diatas bukanlah yang direka-reka untuk menarik penonton menghayati jalan cerita ini, malah sewaktu saya belajar di Politeknik dalam jurusan Diploma Kejuruteraan elektronik pun, apabila belajar dalam tajuk Robotik diajar tentang 3 perkara ini.

Namun perisian komputer tidaklah sempuma. plot cerita ini menggambarkan Ahli-ahli sains yang telah menjalankan penyelidikan tentang robotik memberi amaran terdapatnya `roh di dalam mesin' iaitu kebarangkalian interaksi kod-kod dalam akal sintetik yang memungkinkan wujudnya kebolehan mengingkari program asal. Ini akan mewujudkan kehidupan yang mempunyai kepintaran sintetik,berkemampuan untuk memiliki emosi dan mempunyai jiwa, sehampir kemampuan manusia.

Filem I, Robot bukan sekadar menonjolkan pertembungan manusia dengan ciptaannya, malah ia lebih kepada pertembungan kesinambungan kewujudan manusia sebagai pemerintah di muka bumi ini. Jika robot sudah berani membantah arahan, tentulah mereka merasakan manusia sebagai penghalang kepada kewujudan mereka. Robot akan memberontak dan berkemungkinan cuba menguasai kemanusiaan seperti mana filem The Terminator.

Mesin-mesin pintar buatan manusia ini mula mempertingkatkankeupayaan sendiri dan mencipta robot-robot lain pula tanpa perlu bergantung kepada keupayaan manusia. Mereka
mampu berfikir sendiri dan menganggap manusia adalah musuh yang perlu dihapuskan.

Kita, Teknologi dan Masa depan

Tahun 2035 bukan terlalu lama untuk dinantikan. Hanya 31 tahun sahaja lagi. Teknologi berkembang begitu cepat terutama pada penghujung abad ke 20 dan awal abad ke— 21 ini. Mungkin kita benar- benar telah berjaya mereka cipta robot sebagaimana filem I, Robot yang dapat berinteraksi dengan manusia dan dapat membantu meringankan beban tugas manusia.

Namun ada juga sesetengah pendapat yang menyangkal keupayaan manusia mencipta kehidupan yang mampu menyaingi minda manusia. Keupayaan minda manusia bukannya umpama perisian komputer yang telah diprogramkan terlebih dahulu. Ia adalah melibatkan jiwa dan kerohanian. Mungkin teknologi mampu meniru fungsi otak manusia tetapi bolehkah roh manusia ditiru?

Robot tercanggih masa kini telah dicipta oleh syarikat Honda Corporation yang diberi nama Asimo (juga sempena nama Isaac Asimov) yang mampu meniru pergerakan manusia. Pergerakannya lebih hampir kepada pergerakan manusia dari model-model terdahulu. Mungkin teknologi akan mempertingkatkan keupayaan Asimo atau hanya kemungkinan manusia berjaya mencipta mesin yang mampu melaksanakan tugas dan berfikir untuk melakukan sesuatu tindakan sebagaimana tatacara perisian komputer yang telah diten-
tukan oleh manusia. Adakah mesin-mesin ini akan membantah dan ingkar kepada
arahan manusia? Mungkin jika terjadinya sesuatu keajaiban terhadap mesin-mesin
ini.

Kepintaran buatan @ Artificial Intelligence

Ada satu lagi pendapat tentang mesin-mesin sintetik yang dicipta pada masa akan datang dan berupaya mempunyai perasaan. Mesin-mesin ini yang berkeupayaan untuk berfikir secara logik, mampu menulis karya-karya simfoni dan mampu melukis lukisan-lukisan yang cantik.
Namun keupayaan untuk memiliki jiwa masih lagi menjadi tanda tanya. Berkesinambungan pula setelah memiliki jiwa dan berkeinginan menganut fahaman-fahaman keagamaan? Apakah rasional di sebalik minda sintetik mempunyai kepercayaan beragama?

Perkembangan teknologi terkini amat memberangsangkan. Bayangkan novel I,Robot oleh Isaac Asimov telah ditulis pada tahun 1950-an. Dalam masa setengah abad sahaja, teknologi telah berkembang pesat. Apa yang pada tempoh 50 tahun lalu hanyalah ramalan-ramalan sains dan fiksyen-fiksyen sains telah pun menjadi realiti. Pada waktu itu, keupayaan komputer amat terbatas, sekarang perisian komputer mempunyai keupayaan berlipat kali ganda. Ambil contoh kemajuan penerokaan sains angkasa. Pembinaan satelit komunikasi, pembinaan stesen angkasa lepas, pembinaan kapal angkasa yang Boleh diguna berulang kali, pendaratan manusia di bulan, pendaratan kenderaan angkasa di planet Marikh, pengembaraan satelit-satelit angkasa yang semakin melepasi sistem suria kita dan keupayaan teleskop angkasa mengambil gambar-gambar alam kosmik yang teramat jauh. Semua itu hanyalah cereka-cereka sains oleh kebanyakan novel-novel fiksyen sains setengah abad lalu dan kini telah menjadi realiti.

Sekiranya manusia berjaya mencipta mesin yang mampu berfikir sendiri, bagaimana kita sebagai manusia berinteraksi dengan mereka. Bolehkah manusia mengawal mesin-mesin ini untuk mengelak daripada mengingkari perintah manusia? Bolehkah manusia mematikan suis pada mesin pintar ini sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini? Mungkin tidak kerana keupayaan berfikir pada mesin berkemungkinan akan cuba menolak daripada dimatikan.

Persoalan agama pula, saya tertarik dengan isi ceramah Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia -WADAH merangkap Presiden Kolej Darul Hikmah) tentang penjelmaan teknologi yang melampau sehingga menjangkaui nilai kemanusiaan akan mengundang pelbagai kerumitan.Contohnya bagaimana jika robot yang menggantikan manusia dalam soal menjual beli, bagaimana untuk kita bermuamalat jual beli dari segi melafazkan akad semasa bermuamalat seperti "saya beli" dan "saya jual". Adakah lafaz itu disebut kepada robot tersebut??? Persoalan ini tidak bermakna Dr Siddiq menolak teknologi, namun point beliau ialah jika penjelmaan teknologi yang melampau sehingga menjangkaui nilai kemanusiaan!!

Satu langkah lagi ialah cuba untuk sama-sama `hidup' seiringan. Namun dalam jangka masa panjang, mungkin ia akan membawa kemudaratan kepada manusia. Saya terbaca sejarah tentang 30, 000 tahun lalu, terdapat manusia terawal dari jenis Neanderthal yang mempunyai intelek dan kemampuan berfikir lebih rendah daripada manusia jenis Homo Sapiens. Neanderthal telah tidak mampu untuk menyaingi Homo Sapiens yang lebih bijak menggunakan kemampuan minda untuk meneruskan kehidupan. Kaum Neanderthal pupus setelah gagal menyaingi kemajuan minda manusia Homo Sapiens.

Mesin pintar sintetik pula mungkin akan mengatasi keupayaan manusia dan berjaya mengatasi kemajuan minda.Jadinya dalam sesebuah tamadun yang wujudnya dua spesies yang masing-masing mempunyai kemampuan berfikir untuk menyaingi antara satu sama lain adalah konsep kehidupan yang mencacatkan. Namun konsep bagaimana kita melayan atau akan dilayan oleh minda- minda sintetik ini hanyalah idea dalam filem-filem Hollywood. Teknologi perfileman membolehkan segala fantasi manusia diterjemahkan ke dalam filem seolah-olahnya ia benar-benar wujud. Ia hanyalah spekulasi kepada masa hadapan kita sahaja.

Tiada ulasan: