Jumaat, November 10, 2006

WEB TV : Republikan hilang kuasa di Kongres kerana Bush



WASHINGTON 8 Nov. – Rakyat Amerika Syarikat (AS) yang marah dengan Presiden George W. Bush berhubung kemelut berdarah di Iraq mengundi untuk menamatkan penguasaan partinya, Republikan, di Kongres semalam.

Parti Demokrat sebagaimana yang diramalkan berjaya merampas kuasa di Dewan Perwakilan dengan mudah untuk kali pertama sejak 1994 dan hampir menguasai semula Senat AS.

Kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat mempunyai pengaruh kuat dalam proses penggubalan undang-undang dan juga dalam menentukan hala tuju dasar AS.

Malah, buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad, Demokrat memenangi banyak jawatan gabenor apabila menguasai kedudukan itu di 20 daripada 36 negeri yang dipertandingkan.

Bush hanya mampu menjadi pemerhati dari White House ketika monopoli kuasa parti Republikan dihancurkan di seluruh negara.

Beliau dijadualkan mengadakan sidang media di White House hari ini (awal pagi esok, waktu Malaysia).

Keputusan pilihan raya Kongres semalam bukan sahaja dianggap hukuman terhadap Bush berhubung kemelut di Iraq dan Afghanistan tetapi secara dramatik turut mencorakkan semula politik AS.

Keputusan pilihan raya pertengahan penggal itu juga menunjukkan Demokrat mempunyai peluang cerah untuk kembali menawan White House yang jatuh ke tangan Republikan apabila bekas Presiden Bill Clinton berundur enam tahun lalu.

Demokrat menambah kira-kira 30 kerusi di Dewan Perwakilan semalam untuk mencapai kemenangan besar dengan memanfaatkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap perang di Iraq, skandal seks dan rasuah Republikan serta kepimpinan Bush sendiri.

Setakat pukul 5 petang waktu Malaysia, Demokrat telah pun memperoleh sebanyak 228 kerusi Dewan Perwakilan dengan mendahului di empat kawasan bagi membolehkannya mendapat keseluruhan 232 kerusi manakala Republikan menang di 193 kerusi dan dijangka memperoleh tambahan 10 kerusi.

Demokrat juga mengaut empat daripada enam kerusi yang diperlukan untuk kembali menguasai Senat dan melengkapkan kemenangan mereka bagi membalas dendam terhadap kekecewaan yang dialami selama ini di tangan jentera pilihan raya Republikan.

Calon Demokrat mendahului lawan di Montana dalam perebutan untuk kerusi kelima.

Demokrat juga mendakwa memenangi kerusi di Virginia walaupun pengiraan semula undi mungkin dijalankan menyebabkan keputusan tentang parti mana yang akan menerajui Senat tergendala selama beberapa minggu.

Sehingga lewat petang ini (waktu Malaysia) kedudukan kerusi di Senat tergantung dengan Demokrat dan Republikan masing-masing mempunyai 49 kerusi.

Para pemimpin Demokrat segera menegaskan bahawa mereka mahu menuntut haluan baru berhubung pendudukan tentera AS di Iraq dan berikrar untuk membongkar skandal-skandal Republikan selepas kejayaan menghancurkan harapan Bush untuk menyempurnakan agendanya dalam dua tahun terakhir beliau di White House.

Nancy Pelosi, tokoh yang dibenci oleh Republikan dan dijangka menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Perwakilan, menyatakan pilihan raya itu membuktikan rakyat Amerika sudah bosan dengan dasar-dasar Bush mengenai Iraq, di mana lebih 2,800 askar AS sudah terkorban.

Demokrat menambah 23 kerusi di Dewan Perwakilan, lebih tiga kerusi daripada bilangan yang diperlukan untuk merampas kuasa.

Mereka juga masih bersaing untuk merampas lebih 12 kerusi Republikan di dewan tersebut.

“Kami percaya Demokrat akan mengambil alih kuasa di Dewan dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan para pemimpin Demokrat mengenai isu-isu utama dalam agenda, termasuk memenangi perang di Iraq dan kempen memerangi keganasan selain memastikan pertumbuhan ekonomi,” kata jurucakap White House, Tony Snow.

Demokrat merampas kerusi Republikan di Arizona, Connecticut, Florida, Indiana, Iowa, Kansas, Kentucky, Minnesota, Missouri, New Hampshire, New York, North Carolina, Ohio, Pennsylvania, Rhode Island dan Texas, menurut ramalan stesen-stesen televisyen.

Pada malam penuh gemilang bagi Demokrat, parti itu juga memenangi enam kerusi gabenor untuk menguasai dewan-dewan perundangan negeri buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

– AFP
Sumber Utusan Malaysia dan Buletin Utama TV3

Tiada ulasan: