Jumaat, November 10, 2006

WEB TV : Polis cari dalang sebar SMS




Orang ramai dinasihat usah percaya sekumpulan umat Islam masuk Kristian


KUALA LUMPUR: Polis akan menjalankan siasatan rapi dan bertindak tegas terhadap dalang di sebalik penyebaran khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kononnya sekumpulan umat Islam akan masuk Kristian di Ipoh, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyifatkan kes penyebaran khabar angin seperti itu serius kerana ia boleh menjejas ketenteraman awam dan menggugat perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

Berikutan itu, beliau berkata, satu pasukan khas diketuai Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Aziz Bulat dibantu pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ditubuhkan bagi menyiasatnya.

“Kita memerlukan tempoh seminggu mulai hari ini (semalam) untuk menyiasat kes ini kerana kita perlu tahun jenis telefon bimbit yang digunakan untuk menghantar SMS itu.

"Mereka yang didapati terbabit menyebarkan khabar angin boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 dan boleh dituduh di mahkamah jika sabit kesalahan.

"Hasutan seperti ini boleh menjejas ketenteraman awam dan menggugat keamanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Melaka, semalam.

Musa menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin seperti itu dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan memecahbelahkan perpaduan kaum.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada orang kenamaan (VIP) atau orang terkenal terbabit dengan penyebaran SMS itu. Dalam mesej itu, nama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria turut dikaitkan sebagai pihak yang mengesahkan akan berlaku upacara pembaptisan itu.



Di IPOH, polis sudah pun memanggil seorang daripada beberapa individu yang dikenal pasti terbabit bagi memberikan keterangan dan akan memanggil beberapa lagi termasuk Mufti Perak untuk membantu siasat.

Adul Aziz berkata, ia adalah sebahagian daripada prosedur siasatan yang perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca SMS disebarkan sejak Khamis lalu.

"Semua individu yang ada kaitan dengan SMS itu akan dipanggil untuk siasatan," katanya.

Katanya, polis sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi membantu mendapatkan maklumat siapa penghantar pertama SMS berkenaan.

Di KUALA PERLIS, Penasihat Agama Kerajaan Perlis yang juga bekas Mufti negeri, Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin diarah menyiasat dakwaan Azhar sudah murtad dan cuba menghasut orang Islam menukar agama Kristian.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Mat Jahaya akan mengadakan pertemuan dengan Azhar dan keluarganya untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu.

"Beliau dan keluarganya berasal dari Perlis dan ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk mencari kebenaran. Kita tidak mahu fitnah ini terus berlarutan sehingga menjejaskan umat Islam," katanya.

Sumber Berita Harian dan Buletin utama TV3

Tiada ulasan: