Jumaat, November 10, 2006

MOTIVASI : Badrul Hisham menjadi COO pada usia 25 tahun

MOHD. Badrul Hisham Mansor menyasarkan tempoh 10 tahun akan datang untuk memperluaskan empayar perniagaan syarikat illuminax ke peringkat antarabangsa.

Minat yang mendalam dalam dunia perniagaan mengorak langkah semangat seorang anak muda ini untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang berorientasikan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Mohd. Badrul Hisham Mansor, 25, lulusan sarjana muda Pentadbiran Pemasaran dengan Multimedia dari Universiti Multimedia ini berhasrat mengembangkan perniagaan ICT dengan lebih serius. Dalam mengejar impian tersebut, susah payah serta keperitan yang ditanggung selama ini berbaloi apabila tertubuhnya illuminax Sdn. Bhd. (illuminax)Anak muda ini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut.

Wartawan, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan jurufoto, MOHD. SHAHARANI SAIBI berkunjung ke pejabat illuminax baru-baru ini untuk berkongsi rahsia perniagaannya.

UTUSAN MALAYSIA: Boleh saudara ceritakan apakah pendorong utama yang menarik minat saudara melibatkan diri dalam perniagaan ICT?

MOHD. BADRUL HISHAM: Idea utama penubuhan syarikat ini adalah berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia teknologi maklumat yang seiring dengan pembangunan negara.

illuminax diasaskan oleh sepasukan tenaga kerja yang berdedikasi, berdaya saing dan berwawasan. Dengan tiga ahli rakan perniagaan ketika itu, kami merancang, mentadbir dan menyelaras segala pengurusan untuk perniagaan ini agar menjadi sebuah organisasi perniagaan bumiputera muda yang berani membawa cabaran global seiring saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan aspirasi, azam serta tekad dan cita-cita yang tinggi itu, maka tertubuhnya syarikat ini dengan hasrat menyahut cabaran negara untuk berdaya saing dalam dunia perniagaan yang penuh dengan cabaran.

Bilakah perniagaan ini bermula dan apakah jenis perniagaan yang dijalankan?

Perniagaan ini bermula pada tahun 2005, dengan sokongan padu oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui program usahawan muda. Melalui program sedemikian kami mempelajari pelbagai teknik dan pembelajaran yang berguna dalam mengendalikan sesebuah perniagaan yang efektif dan cekap.

Program tersebut dapat membantu usahawan bumiputera dengan menyediakan kemudahan infrastruktur kepada kami. Sikap keprihatinan yang tinggi oleh Mara dan kerajaan sukar kami gambarkan. Dengan sokongan yang padu dan berterusan itu maka kami menubuhkan syarikat ini yang berorientasikan ICT, perundingan dan perdagangan am. Lambang kepada komitmen syarikat ini terhadap wawasan yang diciptanya adalah syarikat yang mempunyai pasukan pengurusan yang jitu, tepat dan bervisi.

Selaras dengan penglibatan yang menyeluruh dalam dunia perniagaan ICT, kami melakukan kajian terperinci melalui bidang telekomunikasi, teknologi penjimatan global dan produk-produk yang berdaya saing dan perlu diterokai hari ini.

Dengan bermodalkan RM100,000, kami menyahut cabaran memulakan operasi perniagaan dengan melalui jalinan kerjasama pelbagai syarikat telekomunikasi sebagai tapak dan asas memantapkan perniagaan kami serta platform dalam memastikan perniagaan ini mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kami yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang, kami berupaya memperluaskan empayar perniagaan ke luar negara dalam menawarkan perkhidmatan perniagaan untuk meningkatkan sistem telekomunikasi hubungan di negara mereka. Sasaran kami ialah negara-negara yang masih belum mengorak langkah dalam pembangunan industri ICT.

Apakah hala tuju perjalanan syarikat ini dalam bidang ICT?

Pertama sekali sebagai sebuah syarikat Bumiputera, saya akan memastikan aspirasi syarikat dicapai. Melalui matlamat tersebut, kami akan lebih komited dalam menyediakan produk teknologi maklumat yang berkualiti di samping menyediakan keperluan terkini mengikut kehendak pasaran.

Buat masa ini, syarikat kami menjalinkan kerjasama dengan TM Berhad dalam memasarkan produk yang dikenali sebagai Suara melalui Protokol Internet (VoIP) dalam memenuhi kehendak pasaran terutama di agensi swasta dan kerajaan. Melalui kerjasama tersebut, kami berpeluang membangunkan perisian terkini yang lebih baik kepada pelanggan bagi memastikan mutu dan kualiti dipertingkatkan.

Syarikat kami juga membangunkan pelbagai sistem integrasi yang menyeluruh di mana setiap intipati teknologi dapat disampaikan secara terus dan berkesan kepada pengguna. Bukan itu sahaja, kami juga membangun dan menyelidik produk-produk penjimatan global yang terkini bagi manfaat masyarakat terutamanya untuk syarikat dan kerajaan yang ingin membangunkan sistem E-Komunikasi talian tetap di agensi masing-masing.

Selain produk berasas ICT, apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat saudara?

Kami juga menawarkan produk yang berintensifkan mesra pengguna di mana melalui pengoperasian syarikat, kami dapat mengurangkan kos operasi syarikat. Ini merupakan strategi perniagaan dalam memastikan pelanggan kami terus memberi sepenuh kepercayaan kepada kami.

Pada masa ini, hampir 900 syarikat di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak menjalin usahasama dengan syarikat kami dalam memastikan perjalanan operasi mereka berjalan dengan lancar. Dengan adanya produk VoIP, kami yakin berupaya mengeluarkan produk kami sendiri serta menambah baik segala bentuk perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Kami juga menawarkan perkhidmatan membaiki komputer, perisian Pengurusan Projek, pembangunan perisian, Perkhidmatan Elektronik-Dagang, IT konsultasi, Program Latihan dan Persijilan Teknologi Maklumat, Perancangan Rangkaian dan Reka Bentuk, Rangkaian Pelantikan dan Konfigurasi, Teknologi Keselamatan dan Perkhidmatan Pemulihan Bencana.

Bagi syarikat korporat dan agensi yang terlibat boleh menghubungi pihak kami dalam mempertingkatkan lagi jabatan IT syarikat mereka. Di samping itu syarikat kami juga turut menawarkan produk yang dikenali sebagai H2Osaver.

Ia adalah produk yang direka untuk memberi penjimatan penggunaan air di rumah. Ia direkabentuk untuk menyediakan penyelesaian yang komprehensif dalam kawalan aliran air di rumah-rumah secara komersial.

H2Osaver adalah produk yang dihasilkan dengan kualiti tertinggi daripada bahan-bahan yang mengikut piawaian pembuatan. H2Osaver dimajukan dengan menggunakan kejuruteraan serta teknik-teknik daripada satu aliran air kukuh dengan kadar bayaran yang rendah yang dikenakan pada setiap isi rumah.

H20Saver merupakan produk yang mendapat lesen kebenaran untuk dikeluarkan oleh syarikat kami dengan jalinan kerjasama dari sebuah syarikat ternama di Amerika Syarikat.

Apakah kejayaan yang diperoleh oleh syarikat saudara setakat ini?

Antara kejayaan paling besar ialah pemberian mandat sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka sebagai perintis selama tiga tahun kepada sistem talian maklumat berpusat yang pertama di Malaysia. Ia menggunakan satu talian nombor sahaja untuk berurusan.

Talian itu memudahkan semua pihak pengurusan kerajaan negeri dan rakyat untuk berurusan tanpa menggunakan banyak nombor talian. Buat masa ini kami dalam proses pemasangan dan penyelenggaraan di samping mempromosikan lain-lain produk kami.

Bagaimana prestasi syarikat terutama dari segi keuntungan tahun ini?

Syukur kepada Allah kerana tahun ini syarikat kami masih memperoleh keuntungan menghampiri setengah juta. Ia adalah hasil usaha dan kesungguhan serta perancangan terbaik yang diamalkan oleh syarikat. Walaupun menghadapi banyak persaingan daripada syarikat-syarikat lain, namun kami masih mampu mengekalkan prestasi kecemerlangan di tahap yang membanggakan ke hari ini.

Apakah rahsia kejayaan perniagaan saudara sehingga ke tahap sekarang?

Kejayaan saya pada hari ini adalah hasil keberanian mengambil risiko dalam apa jua bidang yang diceburi.

Kita harus pastikan untuk mencuba sesuatu perkara itu dengan yakin serta azam yang tinggi untuk berjaya. Kita perlu mencontohi bangsa lain yang berjaya dalam perniagaan. Kita juga harus bermuhasabah apa kelebihan mereka sedangkan kita juga mempunyai akal dan anggota badan yang sama seperti mereka.

Tuhan menciptakan manusia sama sahaja tanpa perbezaan. Apa yang membezakan manusia dengan manusia yang lain ialah bagaimana kita berusaha untuk meningkatkan kemajuan diri dan agama.

Untuk menjadi orang yang berjaya kita perlu berfikir setapak di depan dan menyusun strategi sebelum orang lain berfikir perkara yang sama. Dengan itu kita lebih bijak dan akan menjadi pemenang untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan, terutamanya dalam perniagaan, insya-Allah.

Apakah nasihat anda kepada orang Melayu yang berminat menceburkan diri dalam perniagaan?

Sekiranya anda berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan, perkara pokok yang perlu anda ambil kira ialah bagaimana untuk membangunkan syarikat. Anda mesti bekerja kuat untuk mengecapi kejayaan, kerana dengan kekuatan dan azam itu sahaja mampu menjadi penentu kepada kejayaan anda.

Sifat putus asa tidak perlu wujud dalam diri anda dan kuatkan semangat untuk mencuba, berani untuk mengambil risiko sama ada perniagaan kita akan berjaya atau sebaliknya. Kekuatan mental dan fizikal serta jalinan kerjasama yang terjalin erat penentu kepada kejayaan anda.

Di Malaysia, banyak peluang perniagaan yang masih belum diterokai. Jangan lepaskan peluang tersebut. Jangan hanya menumpukan perniagaan yang lebih memfokuskan kepada jualan makanan dan pakaian semata-mata. Buka minda untuk memperluaskan empayar perniagaan serta ceburi bidang baru.

Berdasarkan perkembangan semasa apakah langkah-langkah terbaik bagi mengekalkan prestasi syarikat?

Pertamanya, kami akan memastikan segala perancangan dan pembangunan seperti penyelidikan, terutamanya dalam bidang pemasaran dibuat.

Bahagian ini perlu digerakkan dengan agresif bagi mempertingkatkan sasaran pelanggan serta permintaan terhadap kualiti barang dan perkhidmatan dalam pasaran global. Sebenarnya dengan berniaga kita bukan sahaja mengejar ganjaran keuntungannya semata-mata tetapi bagaimana kita melayan dan menjaga hati para pelanggan.

Bagaimana saudara menggunakan pendekatan pengurusan perniagaan yang berlandaskan Islam?

Dalam apa jua perniagaan yang kita ceburi, kita mesti jujur dan telus serta amanah dalam menguruskan syarikat. Kita perlu menghormati orang lain dalam kehidupan kita. Dengan keberkatan tersebut, perjalanan syarikat akan lancar dan disenangi oleh semua pihak.

Kita harus faham apakah konsep perniagaan dalam Islam. Kita harus meneroka dan mengkaji al-Quran kerana di dalamnya terkandung banyak saranan dan pengajaran untuk manusia berjaya dalam banyak hal termasuk perniagaan.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat kami boleh menghubungi Illuminax Sdn. Bhd. di alamat 13 A, Jalan Pandan 8/6, Pandan Jaya 55100 Kuala Lumpur dan di talian 012-3331181,03-92826145 atau melayari laman web kami di www.illumi nax.com.my

sumber : Utusan Malaysia 10/11/2006

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

You could easily be making money online in the underground world of [URL=http://www.www.blackhatmoneymaker.com]blackhat affiliate[/URL], You are far from alone if you haven’t heard of it before. Blackhat marketing uses not-so-popular or not-so-known avenues to produce an income online.